THE Centre of Sustainability Intelligence (CSI) Sdn. Bhd., syarikat perkhidmatan pelestarian organisasi yang diterajui secara digital telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM) yang mewakili industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di negara ini.

Perkongsian strategik itu adalah sebahagian daripada usaha PIKOM untuk mengukuhkan komitmennya terhadap usaha kemampanan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) di negara ini serta mengukuhkan dan menyelaraskan matlamat jangka panjang ESG dan pelaksanaan pematuhan PIKOM sebagai perniagaan yang bertanggungjawab dan mementingkan alam sekitar.

CSI akan memanfaatkan kepakaran, pengalaman dan penyelesaian kemampanan menyeluruh untuk memperkasakan PIKOM dalam mencapai matlamat kemampanannya sejajar dengan agenda pembangunan negara yang mampan.

AIDA LIM

Ketua Pegawai Eksekutif CSI, Aida Lim berkata: “Matlamat kami di CSI bukan hanya untuk menetapkan hala tuju syarikat ke arah kemampanan tetapi juga membantu mereka mengikut perancangan jangka panjang supaya mencapai matlamat dan mewujudkan impak positif kepada alam sekitar.

“Melalui platform digital proprietari dan pendekatan tiga peringkat yang merangkumi cadangan strategik, taktikal dan operasi, kami akan meningkatkan kemampuan syarikat dalam membuat keputusan berkaitan inisiatif hijau syarikat dengan menggunakan analisis granul yang datanya diperoleh daripada nilai rantaian mereka sendiri.”

CSI juga akan menggunakan platform digital proprietarinya untuk menilai standard ESG rantaian bekalan PIKOM, mengesyorkan inisiatif latihan dan memantau standard ESG rantaian bekalan dari semasa ke semasa. Alat tersebut akan menyediakan PIKOM dengan keupayaan membuat laporan dan pemantauan ESG di seluruh perusahaan sambil membolehkan ahli-ahli PIKOM mengakses maklumat kemampanan dan risikan ESG dan seterusnya mencapai matlamat pasaran.

Kerjasama itu juga akan menyaksikan penganjuran persidangan dan acara berkaitan kemampanan secara bersama oleh CSI dan PIKOM untuk memupuk kesedaran dan menerapkan agenda kemampanan ESG dalam kalangan ahli PIKOM dan komuniti ICT di negara ini.

Pertukaran MoU itu diadakan pada majlis penutup World Congress on Innovation and Technology (WCIT) 2022 pada 15 September 2022 di Pusat Konvensyen Setia SPICE, Pulau Pinang yang mana pertukaran dokumen dilakukan antara Ketua Pegawai Eksekutif CSI, Aida Lim dan Pengerusi PIKOM, Dr. Sean Seah dan Timbalan Pengerusi PIKOM, Ong Chin Seong. Majlis tersebut itu disaksikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

“Kerjasama kami dengan PIKOM akan membolehkan mereka mencapai matlamat kemampanan organisasi dengan mengenal pasti isu ESG dan menyokong peralihan mereka kepada syarikat sifar karbon yang bersih dan mengamalkan ekonomi sirkular.

“Apa yang paling menarik mengenai perkongsian ini ialah kami akan bersama secara aktif mengurangkan perubahan iklim melalui penganjuran bersama acara-acara dan program berkaitan alam sekitar serta kemampanan bagi menjana kesedaran ESG dalam kalangan komuniti ICT tempatan. Kami memuji PIKOM kerana begitu komited terhadap usaha pelaksanaan kemampanan dan ESG mereka,” kata Aida Lim. – UtusanTV