Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Seri Dr Radzi Jidin. GAMBAR: Abd Razak Aid

“RUMAH saya di sini, jadi dengan masyarakat Putrajaya itu (kerana mereka adalah) jiran saya.”

Itu kata Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr. Radzi Jidin ketika ditanya mengenai sama ada akan bertanding di Parlimen Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Memetik laporan BH Online, Radzi memaklumkan rumahnya berada di kawasan Parlimen Putrajaya dan atas dasar itu selalu mengadakan pelbagai aktiviti bersama masyarakat kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, Radzi menyatakan akan akur dengan keputusan partinya untuk memutuskan kawasan mana yang ditandinginya dalam PRU-15.

Menurut Radzi, sebagai ahli parti, beliau perlu patuh dengan segala keputusan yang sudah ditetapkan.

“Seperti mana yang disebutkan sebelum ini, berkaitan dengan tempat mana yang saya nak tanding, apa sahaja yang ditetapkan oleh parti itulah saya akan ikut,” katanya selepas program Wadah Aspirasi Menteri Kanan Pendidikan, hari ini.

Sebelum ini, UtusanTV melaporkan Radzi membalas kenyataan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang secara sinis bertanyakan siapa Radzi.

Baca artikel berkaitan: [VIDEO] ‘Sesiapa pun boleh bertanding di mana sahaja’ – Radzi balas Ku Nan

Ia susulan ura-ura Menteri Kanan Pendidikan itu akan diletakkan di Putrajaya bagi merampas kerusi itu daripada Barisan Nasional (BN).

Namun begitu, Radzi sekali lagi menepis desas-desus akan bertanding di Parlimen Putrajaya dalam PRU-15.

Untuk rekod, kerusi P125 Putrajaya disandang Tengku Adnan yang memegang kerusi berkenaan selama empat penggal. Pada PRU-14, Tengku Adnan menang dengan majoriti 3,372 undi.

Beliau memperoleh 12,148 undi menewaskan calon PAS, Zainal Abidin Kidam dan calon PKR, Datuk Dr Samsu Adabi Mamat yang masing-masing memperoleh undi sebanyak 3,634 dan 8,776.

Bagaimanapun, Radzi yang pada ketika itu bertanding di Parlimen Ketereh, kalah kepada penyandang kerusi itu, Tan Sri Annuar Musa dengan hanya mendapat 6,799 undi. Annuar ketika itu memperoleh majoriti 4,626 undi.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram