Kim Pan Gon percaya anak buahnya mempunyai ketahanan mental untuk berdepan sebarang cabaran, termasuk menghadapi jaringan gol pada saat akhir dan bangkit semula untuk menang. GAMBAR: FB FAM

KETUA jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan, Kim Pan Gon percaya anak buahnya mempunyai ketahanan mental untuk berdepan sebarang cabaran, termasuk menghadapi jaringan gol pada saat akhir dan bangkit semula untuk menang.

Pengendali dari Korea Selatan itu berkata sepanjang karier kejurulatihannya selama 25 tahun, beliau pernah mengalami saat sebegitu beberapa kali dan berpuas hati dengan cara pemain Harimau Malaya berhadapan dengan gol penyamaan itu, pada aksi Kejohanan Piala Raja Thailand menentang tuan rumah semalam.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium 700th Anniversary of Chiang Mai itu, Malaysia mendahului 1-0 sebelum Thailand menyamakan kedudukan pada masa kecederaan babak kedua, memaksa pemenang ditentukan menerusi sepakan penalti, yang berakhir dengan kemenangan Malaysia 5-3.

“Kami sememangnya menjangkakan untuk menamatkan perlawanan (dalam masa 90 minit) tetapi berlaku (jaringan penyamaan). Sepanjang 25 tahun melatih, saya berada dalam situasi sebegini banyak kali, namun saya rasa pemain Harimau Malaya telah menunjukkan komitmen, semangat juang dan keyakinan sepanjang masa.

“Saya percaya mereka cukup kuat untuk mengatasi situasi seperti ini. Malam ini saya mempercayai sepenuhnya kesemua pemain kita dan mereka sudah melakukan yang terbaik,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas perlawanan itu di Chiang Mai malam tadi.

Baca artikel berkaitan: Harimau Malaya buat Gajah Perang gigit jari di Chiangmai

Pada perlawanan itu, Malaysia mendahului menerusi La’Vere Corbin Ong pada minit ke-32 bagaimanapun Thailand menyamakan kedudukan apabila Pansa Hemviboon menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan babak kedua, yang membawa perlawanan ke penentuan sepakan penalti.

Penjaga gol negara Ahmad Syihan Hazmi Mohamed layak diangkat sebagai wira pasukan apabila menampilkan persembahan terpuji selepas menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya skuad Gajah Perang, termasuk menafikan percubaan Supachok Sarachat dalam penentuan sepakan penalti.

“…kami berada di bawah tekanan tetapi semua pemain bermain dengan hebat…mereka memberikan lebih 100 peratus untuk berjuang demi Malaysia. Ia persembahan yang hebat dan kita mendapat keputusan yang baik,” kata Pan Gon.

Sementara itu, Corbin Ong mengakui ketenangan rakan sepasukannya dalam menangani tekanan, terutamanya ketika penentuan sepakan penalti menjadi kunci kejayaan mereka.

“Ada tekanan (tambahan) selepas kami menjaringkan gol dan ada juga tekanan ketika mengambil penalti. Tetapi kami adalah pemain profesional dan kami perlu menanganinya. Anda lihat karakter dan semangat semua pengambil sepakan penalti…semua pemain dalam pasukan boleh menangani tekanan dan itulah yang membawa kami ke final,” katanya.

Pada perlawanan akhir Ahad ini, Malaysia akan bertemu Tajikistan yang menewaskan Trinidad & Tobago 2-1 pada aksi lain.

Malaysia pernah menjulang piala berkenaan sebanyak empat kali iaitu pada 1972, 1976, 1977 dan 1978.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram