Harimau Malaya berjaya menundukkan tuan rumah, Thailand untuk mara ke perlawanan akhir Piala Raja Thailand. GAMBAR: FB FAM

KEJAYAAN skuad Harimau Malaya mara ke perlawanan akhir Piala Raja Thailand turut diraikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Walaupun sedang berada di New York untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77, namun Perdana Menteri turut tidak melepaskan peluang mengikuti rapat pencapaian diraih skuad bola sepak kebangsaan.

Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri mengucapkan tahniah kepada Harimau Malaya selepas berjaya menewaskan tuan rumah 5-3 menerusi sepakan penalti.

Ismail Sabri turut berharap pemain kebangsaan dapat mempamerkan aksi membanggakan apabila bertemu Tajikistan di perlawanan akhir, Ahad ini.

Pada masa sama, Perdana Menteri turut menyeru Keluarga Malaysia memberikan sokongan padu kepada skuad Harimau Malaya untuk menjulang trofi itu buat kali kelima.

“Tahniah #HarimauMalaya, mara ke perlawanan akhir Piala Raja Thailand selepas menewaskan Thailand 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti.

“Saya berharap aksi yang sama dapat dipamerkan apabila kita bertemu Tajikistan pada perlawanan akhir, 25 September ini.

Baca artikel berkaitan: Harimau Malaya buat Gajah Perang gigit jari di Chiangmai

“Ayuh Keluarga Malaysia, sama-sama kita terus memberi sokongan kepada skuad Harimau Malaya untuk menjulang Piala Raja Thai!,” katanya dalam hantaran itu, hari ini.

Era cemerlang Harimau Malaya di bawah bimbingan ketua jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan Gon diteruskan setelah menundukkan skuad Gajah Perang dalam aksi Piala Raja Thailand ke-48 di Chiangmai, malam tadi.

Perlawanan berlanjutan sehingga penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam masa sebenar.

Pertahanan kiri, La’Vere Corbin-Ong menjadi wira negara selepas menyempurnakan sepakan penalti terakhir untuk membawa Harimau Malaya ke perlawanan akhir.

Harimau Malaya akan membuat perhitungan dengan skuad ranking ke-109 dunia, Tajikistan yang mengejutkan Trinidad and Tobago dalam satu lagi saingan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram