PADA pagi 30 Jun 1908, kedengaran letupan yang sangat kuat dalam julat 40 megatan TNT (trinitrotoluena) telah membingitkan telinga sejauh 483 kilometer, berhampiran sungai Stony Tunguska di Yeniseysk Governorate (kini dikenali sebagai Krasnoyarsk Krai) di Rusia.

Peristiwa yang digelar letupan Tunguska itu umpama gempa bumi 5.0 skala Richter dan menelanjangkan kawasan hutan seluas lebih 2,000 kilometer persegi.

Cerita seorang saksi yang ketika itu berada di anjung rumah, dia melihat langit seakan terbelah dua dan keluar bebola api berekor panjang terbang turun dari jarak 65 kilometer sebelum meledak kuat di kawasan hutan berdekatan.

Kesan kemusnahan itu dianggarkan kira-kira 1,000 kali lebih kuat berbanding ledakan bom atom di Hiroshima, Jepun pada tahun 1945.

Ramai saintis memerah otak untuk membongkar misteri letupan itu. Namun, kebanyakan rekod awal telah hilang atau musnah sewaktu Perang Dunia 1, Russian Revolution 1917 dan Russian Civil War.

Tanda merah menunjukkan lokasi letupan Tunguska.

Selepas lebih sedekad peristiwa itu berlalu, pada tahun 1921, ahli mineralogi Rusia, Leonid Kulik direkodkan sebagai penyelidik pertama melakukan ekspedisi ke daerah letupan itu.

Pada pemerhatiannya mendapati, letupan yang meninggalkan kemusnahan besar itu berpunca daripada hentaman meteorit gergasi.

Christopher F. Chyba dari NASA Ames Research pula mendakwa, letupan asteroid menjadi serpihan kecil beberapa meter di udara sebelum terhempas ke permukaan tanah adalah punca kepada letupan itu.

Namun, ramai mempertikaikan teori itu. Jika benar meteorit atau asteroid terhempas di situ, mengapa tiada kawah ditemui di tempat kejadian? Mustahil saiz meteor atau asteroid berukuran diameter 10 meter yang jatuh dari angkasa lepas dengan kelajuan 21,600 meter per saat (mph) langsung tidak membentuk kawah di atas permukaan  tanah.

Kawasan letupan Tunguska.
Keadaan hutan yang musnah kerana letupan Tunguska.

Serge J. D D’Alessio dan Archie A. Harms dari Universiti Waterloo, Kanada, menjelaskan, sesetengah deuterium dalam komet yang memasuki bumi mungkin menjalani reaksi perlakuan seperti bom nuklear. Mungkin juga ketiadaan kesan kawah disebabkan objek yang jatuh bukan meteor besi, tetapi objek mudah pecah.

Pada tahun 1930, ahli astronomi British, F. J. W. Whipple pula berkata bahawa habuk yang berselerak di atmosfera merupakan bekas pergerakan ekor komet. Justeru, dia berpendapat serpihan-serpihan komet adalah penyebab kepada kemusnahan itu. Namun, teorinya diragui kerana saintis tidak pernah menjumpai serpihan batu komet di kawasan kejadian.

Kemudian, seorang jurutera Soviet, Alexander Kazantsev menulis dalam bukunya berjudul, A Visitor From Outer Space, mendakwa peristiwa Tunguska itu berlaku akibat letupan kapal angkasa atau senjata milik makhluk asing di atmosfera.

Teorinya itu kemudian dikaitkan pada tahun 2004 dengan sekumpulan pengkaji dari Tunguska Spatial Phenomenon Foundation bersama presidennya, Dr. Yuri Labvin yang mendakwa menjumpai serpihan pesawat UFO dan tanda-tanda kuarza pelik di tempat ledakan.

Namun, teori makhluk asing itu dipandang sepi oleh saintis lain. Maka, timbullah beberapa idea lain dan mengaitkannya dengan letupan ujian senjata nuklear yang dieksperimenkan oleh Nikola Tesla menggunakan Wardenclyffe Tower.

Pada tahun 1941 pula, Lincoln LaPaz mengeluarkan pendapat bahawa ledakan itu akibat ketulan anti jirim dari ruang angkasa yang jatuh ke permukaan bumi.

Manakala ahli fizik dari Universiti Bonn di Jerman, Wolfgang Kundt pula memperjuangkan teori letupan gas metana. Jelasnya, lebih 10 juta tan gas metana daripada kerak bumi boleh meletup dengan ledakan yang sangat dahsyat seumpama letupan Tunguska.

Namun, teori-teori itu masih mendatangkan pelbagai persoalan dan membingungkan para saintis kerana tiada keterangan dan bukti kukuh untuk menyokongnya.

Pelbagai teori dikaitkan dengan letupan Tunguska.

Kemudian, pada tahun 1993, penyelidik Rusia, Chris Chyba, Paul Thomas dan Kevin Zahnle yang meninjau kawasan Tunguska menemui bukti serpihan batu kecil terbenam di celah pokok-pokok di tempat pelanggaran.

Apabila dikaji, serpihan itu sepadan dengan komposit batu meteorit tulen. Justeru, mereka menyimpulkan bahawa meteorit besar telah meletup di atmosfera sebelum jatuh ke permukaan bumi.

Kawah Hentaman Meteor

Namun, di mana kawah akibat hentaman meteor itu? Sedikit terjawab pada Jun 2007, sekumpulan saintis dari Universiti Bologna, Itali telah mengaitkan sebuah tasik berdekatan tragedi yang dikenali sebagai Lake Cheko sebagai kawah kesan hentaman meteor.

Kenyataan itu disokong dengan penemuan magnet anomali bersaiz kecil di tasik berbentuk bulat sedalam 50 meter dengan lebar 364 meter dan sepanjang 708 meter itu.

Bahkan, kajian ke atas tanah paya gambut di sekitar tasik tersebut menunjukkan kewujudan bahan kimia yang juga ditemui dalam meteor. Analisis kimia ke atas tanah itu juga menunjukkan banyak anomali yang dianggap konsisten dengan peristiwa hentaman meteorit.

Tasik Cheko.

Tetapi, ramai yang membantah teori itu dan mendakwa tasik tersebut sudah wujud sebelum letupan Tunguska pada 1908. Namun apabila diselidiki peta tentera Czarist Rusia bertarikh tahun 1880, para penyelidik gagal menunjukkan kewujudan tasik tersebut yang dikatakan sudah wujud lebih awal sebelum letupan berlaku.

Sehingga kini, pelbagai teori masih dikaitkan dengan ledakan Tunguska ini. Namun tiada siapa tahu apa sebenarnya objek yang menyebabkan letupan aneh itu.

Dari sisi lain, peristiwa letupan Tunguska ini secara tidak langsung telah membangkitkan perbincangan di kalangan saintis dalam usaha untuk mencegah hentaman asteroid ke bumi.

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram