Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. GAMBAR: Abd Razak Aid

DATUK Seri Najib Tun Razak yang menjalani rawatan di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) dihantar semula ke Penjara Kajang selepas diberikan pelepasan perubatan.

Ia selepas bekas Perdana Menteri itu menjalani beberapa pemeriksaan dan rawatan rehabilitasi sepanjang keberadaannya di HRC sejak Isnin lalu.

HRC dalam kenyataan memaklumkan, hasil pemeriksaan terkini dilakukan oleh pakar perubatan rehabilitasi mendapati tahap kesihatan Ahli Parlimen Pekan itu berada dalam keadaan baik.

Menurut HRC, Najib juga telah diberikan tunjuk ajar oleh Jurupulih Perubatan Fisioterapi HRC dan boleh menjalankan latihan teknik senaman secara kendiri.

HRC memberitahu, pakar perunding yang berkaitan juga telah mengadakan sidang keluarga bersama Najib dan ahli keluarga terdekat berhubung situasi terkini keadaan kesihatan serta pelan pemantauan kesihatannya.

“Pakar perunding perubatan dari Hospital Kuala Lumpur dan HRC telah memberikan pelepasan perubatan dan membenarkan beliau dihantar semula ke Penjara Kajang.

“Bersesuaian dengan matlamat HRC, kami akan terus komited dan telus dalam pemberian perkhidmatan bagi memastikan pesakit yang dirawat di sini dapat mencapai tahap potensi yang optimum dan membolehkan seseorang individu mencapai tahap kefungsian yang maksimum,” menurut kenyataan itu.

Baca artikel berkaitan: Najib dirujuk ke HRC untuk terima rawatan

Rabu lalu, Jabatan Penjara dalam kenyataan berkata, Najib yang sedang menjalani hukuman penjara selama 12 tahun dihantar ke HRC untuk menerima rawatan.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memerintahkan Najib dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan pada 12 September lalu.

Hal itu selepas dimaklumkan yang keadaan kesihatan Ahli Parlimen Pekan itu tidak memuaskan.

Selaras dengan Seksyen 37 Akta Penjara dan peruntukan di bawah Akta tersebut serta United Nations Standard Minimum Rules for the Treatment of Prisoners (Mandela Rules), pihak Jabatan Penjara telah menghantar Najib ke HKL untuk rawatan oleh pakar perubatan di sana.

Najib dihantar ke Penjara Kajang, 23 Ogos lepas selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya kerana menyalahgunakan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram