DI dunia ini terdapat ribuan spesies rama-rama dengan pelbagai bentuk dan warna. Namun, tidak semua rama-rama memiliki keunikan tersendiri seperti rama-rama spesies Greta Oto ini.

Apa yang menakjubkan, rama-rama dari keluarga Clade ini mempunyai sepasang sayap bersifat lut sinar dan boleh tembus pandang.

Walaupun Greta Oto mempunyai perbezaan dari segi sayapnya, namun sifat-sifatnya yang lain tetap sama dengan rama-rama biasa. Rama-rama lut sinar ini boleh ditemui di bahagian Amerika Tengah iaitu di Mexico hingga ke Panama.

Di Sepanyol, rama-rama ini dipanggil Espejitos yang bermaksud cermin kecil. Nama ini diberi kerana sayapnya boleh memantulkan cahaya apabila ia berada di bawah sinaran matahari.

Rama-rama lut sinar Greta Oto.

Rama-rama ini hidup di kawasan hutan hujan yang kaya dengan kepelbagaian tumbuh-tumbuhan. Kebanyakan rama-rama bersayap lut sinar ini mempunyai warna di sekitar hujung sayapnya sahaja. Kadang-kadang warnanya lebih daripada satu. Paling biasa ditemui adalah warna coklat atau oren dengan dua bintik putih.

Badan rama-rama ini pula lebih gelap berbanding rama-rama biasa. Dengan itu, secara tidak langsung ia akan menonjolkan sayapnya yang lut sinar itu. Bukaan sayapnya pula secara purata adalah selebar  5.5 Sentimeter.

Lazimnya, rama-rama biasa tidak mampu untuk bermigrasi dalam jarak yang jauh. Namun, spesies Greto Oto ini agak berlainan kerana mampu terbang dalam jarak yang jauh, bahkan mencecah sehingga berbatu-batu jauhnya.

Keunikan pada sayap rama-rama yang lutsinar ini membuatkan para saintis yang sangat berminat untuk mengkajinya. Saintis berpendapat bahawa sayap rama-rama ini menjadi lut sinar akibat kurangnya pigmen warna pada tisu sayapnya sehingga ia kelihatan lut sinar.

Satu lagi keunikan rama-rama ini adalah mengenai tempat dan bagaimana ia mahu bertelur. Rama-rama ini hidup di dalam suasana hutan hujan dan memilih untuk bertelur pada tumbuhan Cestrum atau lebih dikenali sebagai Nightshade.

Nightshade merupakan sejenis tumbuhan yang sangat beracun. Sebaik sahaja telur rama-rama ini menetas, ulat beluncas akan menjadikan tumbuhan ini sebagai satu sumber makanan.

Kesan daripada makan tumbuhan ini akan menjadikan badan ulat beluncas berbelang-belang dengan warna terang. Keadaan ini secara tidak langsung memberi amaran kepada pemangsa bahawa ‘mereka’ adalah beracun dan bahaya untuk dimakan.

Nightshade, tumbuhan beracun yang menjadi makanan beluncas spesies rama-rama lut sinar.
Beluncas spesies rama-rama lut sinar Greta Oto.

Alkaloid iaitu sebatian semulajadi di dalam tumbuhan tersebut telah sebati di dalam badan ulat belucas tersebut sehingga ia bertukar dewasa. Ini bagi menyediakan Greta Oto satu pertahanan semulajadi daripada pemangsa dalam jangka waktu yang panjang.

Ulat beluncas yang sudah bertukar menjadi rama-rama lut sinar ini dianggap toksik disebabkan oleh tumbuhan Nightshade yang dimakan serangga ini.

Alkaloid turut mempunyai fungsi lain apabila tiba musim mengawan. Ketika itu, sekumpulan rama-rama jantan akan berkumpul untuk saling berlawan mempamerkan ciri-ciri dan kehebatan mereka. Ketika ini, alkaloid ini akan diubah menjadi feromon untuk memikat rama-rama betina.

____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram