“PANDANGAN peribadi saya, bukan senang jadi seorang gadis. Sejak remaja kita dikawal ibu ayah supaya perangai dan peribadi kita tak jadi buah mulut orang. Setelah bekerja disuruh kahwin, tak kahwin dipanggil andartu, kalau kahwin bukan semuanya bahagia kerana ramai yang menderita. Terutama kalau dapat suami `keledek rebus’. 

“Saya bercakap dari pengalaman. Emak ayah suruh kahwin tapi dia tidak ada calon, suruh cari sendiri. Ini bukan kerja mudah, umpama mencari berlian dalam pasir. Susah. 

“Tambah-tambah zaman ini ramai lelaki hidung belang dan suka jadi biawak hidup. Sementara perangai isteri suka tuduh kita rampas suami mereka tanpa siasat. Lebih teruk lagi, siap memaki hamun lagi. Memang sakit hati. Itu cerita Ramey dalam e-mel nya. 

“Bukan semua gadis sekarang bodoh, biul, siul sangat gilakan suami orang. Tetapi suami oranglah yang tak sedar diuntung suka menjaja cinta, memikat gadis dengan pujuk rayu dan pembohongan memikat gadis. Sebenarnya ramai gadis sekarang jadi mangsa suami orang yang gatal mengaku bujang. Dan disebabkan suami orang jugalah saya dipinggirkan oleh rakan wanita sepejabat saya. 

“Mereka tuduh saya ganggu suami mereka tetapi suami mereka yang ganggu saya. Kerja saya mencari pelanggan untuk syarikat, tentulah ramai orang yang saya jumpa dan hubungi. Antara mereka inilah saya terkena dengan miang keladi, yang tidak ada kerja lain, suka menggoda. 

“Namanya Ejam. Mulanya dia kata nak buat pinjaman, tentu saya kata okay dan minta butiran yang diperlukan. Dalam pada itulah dia sering telefon saya dari nak minta loan hinggalah melarat nak kenal saya. Tentu saya tak layan, tetapi entah apa yang berlaku dalam rumahtangganya, isterinya telefon saya marah-marah, tuduh saya nak goda suami dia. Eh, ini dah melampau. Siapa nak goda siapa? 

“Saya nafikan dan cuba cerita baik-baik tetapi si isteri tak percaya. Saya kata saya tak kenal pun suaminya, cuma melalui telefon. Tapi si isteri tak percaya. Rupanya si Ejam ni ambil gambar saya ketika buat promosi. Gambar itu dia tunjuk kat saya. Nak jadikan cerita dia ugut nak sebar gambar saya di pejabat. Tentu saya angin. 

“Sakitnya hati bila dipanggil bos sebab nak tahu cerita sebenar dan lantas dipindahkan ke bahagian lain. Memang saya lega sebab tak kena maki dan diganggu lagi. 

“Nak dijadikan cerita beberapa tahun kemudian, saya kenal dengan Zek yang kebetulan ada majlis sukan dan dia dari syarikat lain. Dan perkenalan kami berjalan lancar, saya langsung tak syak dia suami orang sebab muda lagi. Mungkin muda setahun dua daripada saya dan itu sebab saya berani berkawan dengan dia. Dia pun mengaku masih bujang. 

“Rupanya dugaan saya salah. Setelah berkawan lebih setahun, tiba-tiba saya dapat panggilan telefon dari seorang wanita yang mengaku isteri Zek dan dia terus warning saya jangan ganggu rumahtangganya. Mereka ada tiga orang anak. Lainlah kalau saya mahu jadi ibu tiri jaga anak-anaknya kalau mereka bercerai. 

“Meletup jantung saya. Rupanya Zek suami orang.  Isterinya bukan kaleng-kaleng, pegawai kerajaan dan dia nekad nak bercerai sebab saya. Dia tuduh saya habiskan duit suaminya, suka makan luar, bermotor sana sini, yang memang langsung saya tak buat. 

“Benar saya berkawan dengan suaminya tetapi sekadar makan malam. Tak pernah bermotor dan melancong sana sini. Saya nafikan tapi dia masih tak percaya. Boleh dikatakan selang dua hari dia telefon maki hamun saya. Tak dapat di pejabat, di rumah. Saya dengar dan nafikan, dia tak percaya. Saya cadangkan cuba cari nama wanita lain. Tetapi dia tetap tuduh saya. 

“Kerana tak tahan dimaki, dengan pertolongan kawan sepejabat Zek, saya ceritakan apa yang terjadi. Akhirnya mereka beritahu memang Zek sukakan saya tetapi kekasih lama Zek ajak kahwin sebab mereka dah terlanjur. Zek tak mahu kahwin, dia sayangkan dan takut dengan isterinya. Sebab selama ini dia banyak bergantung dengan isterinya yang berpangkat dan berduit itu. Tetapi dengan saya, Zek tetap mengaku dia masih bujang, sebaliknya wanita yang dia panggil si Janda itu yang tergila gilakan dia. Orang macam ni pun ada dalam dunia ini! 

“Bila saya bongkar apa yang saya tahu tentang dirinya, Zek terdiam dan terus tak hubungi saya lagi. Malu agaknya. 

“Dalam pada itu umur terus meningkat. Emak ayah tetap suruh kahwin tetapi saya takut kena tipu dan kena maki hamun lagi. 

“Seorang kawan cadangkan saya kahwin dengan kawan suaminya. Tetapi dia lebih muda daripada saya, tak berpangkat dan kerja biasa-biasa saja. Yang penting dia setia. Katanya lagi, zaman sekarang ramai wanita berusia kahwin lelaki muda dan mereka bahagia. Betul juga, termasuk dalam akal saya. Dan saya dikenalkan dengan Emie. Umur 26 tahun, muda lima tahun dari saya. Tapi luarannya nampak baik dan cukup sopan santun.  

“Tetapi setiap kali keluar makan malam, saya yang kena keluar belanja. Itu saya tak kisah sebab dia mengaku tak cukup duit. Yang penting jujur. Tetapi pertemuan kami kali kelima, terus terang dia beritahu nak pinjam RM1000 sebab emaknya perlukan duit untuk baiki dapur rumahnya di kampung, sedangkan dia tak cukup duit. 

“Terkejut saya. Tetapi kerana kasihan saya bagi pinjam. Dan dia janji akan bayar beransur-ansur. Okay lah. Tetapi hati kecil saya tertanya-tanya mengapa adik beradik lain tak membantu. Kata Emie, kakaknya seorang guru dan abangnya pegawai tentera, takkan mereka tak membantu, namun saya fikir mungkin mereka ada tanggunggugjawab lain. 

“Nak dijadikan cerita, tiga bulan kemudian Emie jumpa saya minta maaf dia tak dapat bayar hutang sebab dapur emaknya masih belum siap,.Kontraktor kata tak cukup duit dia tak boleh habiskan kerja dan dapur emaknya terbengkalai. Dia mohon kalaa saya boleh bagi pinjam RM4000 lagi, mungkin dapur itu boleh disiapkan. 

“Memang saya terkejut beruk. Nak pinjam lagi. Duit dulu belum bayar sesen pun, makan minum saya yang belanja. Ini tak boleh jadi. Tetapi kerana kasihankan dia merayu-rayu, saya cuma berjanji akan bantu RM1000 sahaja sebab saya pun bukan banyak duit. 

“Alih-alih Emie boleh kata, takkan orang macam saya dah lama bekerja tidak ada simpanan langsung. Lagi terkejut saya. Takkan dia nak tanya berapa saya simpan. Rupanya memang Emie tanya, selama bekerja berapa banyak simpanan saya, berapa bayaran bulanan rumah yang saya beli dan berapa lama lagi ansuran hutang kereta saya. 

“Memang soalan gila babi. Terkedu saya. Baru berkawan tak sampai setahun macam-macam soalan dia tanya dan nak pinjam duit lagi. Jadi kalau lagi lama kami berkawan lebih banyak soalannya dan banyak lagi yang dia nak pinjam. Ini tak boleh jadi. 

“Malam itu saya tak dapat tidur sampai pagi. Macam-macam saya fikir pasal Emie. Betul ke dia susah, betul ke adik beradik tak mahu bantu. Kalau saya bagi pinjam, bolehkah dia bayar? Sebab hutang lama pun tak berbayar lagi, ini nak buat hutang baru? 

“Akhirnya sebulan kemudian saya terima panggilan telefon dari seorang wanita yang mengaku tunang Emie. Terkedu saya. Tetapi saya tak panik, kebetulan waktu kerja, saya minta dia telefon malam nanti. Sebab waktu kerja tak boleh ganggu dengan soalan peribadi. Sebelum letak telefon, dia sempat warning saya jangan cuba putuskan pertunangan dia. 

“Sambil kerja fikiran saya terus berlegar dengan teka-teki wanita misteri ini. Betulkah dia tunang Emie? Macam mana dia dapat nombor telefon saya?

“Malamnya dia terus telefon. Saya ingatkan jangan maki hamun, cakap dengan jelas dan tolong ceritakan hubungan mereka dari A hingga Z. Walaupun ada ketika nada suaranya meninggi, saya ingatkan jangan sampai saya letak telefon. 

“Katanya dia sudah dua tahun bertunang dan janji nak kahwin tiga bulan lagi. Tetapi Emie asyik tangguh. Dia syak Emie ada kekasih baru dan sebab itu dia selongkar telefon Emie dan dapat nombor saya. Dia minta saya jangan rampas Emie daripada dia. Sekampung dah tahu mereka nak kahwin tetapi Emie masih tak cukup duit dan minta tangguh. 

“Ceritanya memang ikhlas dan terbongkarlah mengapa Emie nak pinjam duit saya, rupanya duit hantaran tak cukup. Tak sangka Emie sanggup pinjam duit saya kerana nak cepat kahwin. 

“Bagaimana pun saya bersyukur. Allah telah memperlihatkan kepada saya, jika saya teruskan hubungan, takut apa akan jadi pada nasib saya mungkin saya terpaksa tanggung Emie yang selalu tak cukup duit itu. 

“Demikian juga kalau kahwin dengan suami orang. Setelah lama berfikir, saya lepaskan dengan kelegaan di hati. Allah selamatkan saya daripada semua angkara yang memerangkap hidup. Sekarang saya rasa amat lapang kerana terlepas dari segala masalah yang amat menyulitkan itu. 

“Saya suka ingatkan para isteri tolong jangan maki hamun wanita lain konon nak rampas suami anda. Sebaliknya salahkan suami yang suka menipu kerana sifatnya miang keladi dan suka menggoda itu. 

“Pada saya apa yang berlaku satu pengajaran. Dan pasti ada hikmahnya.  Berjalan ke mana saya suka, maka apa yang teringin. Dulu duit asyik habis kerana bil telefon dan internet, selain top up telefon beratus ringgit. Biasalah orang tengah asyik bercinta. Bila tahu ditipu, barulah terasa betapa dungunya kita. 

“Saya rasa Allah mahu saya hidup senang dan hendak selamatkan saya daripada hidup menderita dapat suami yang tak bertanggungjawab. Kalau dengan isteri dia sanggup menipu, apa lagi dengan kita. Terima kasih Allah.   

“Saya yakin Allah Maha Adil. Pasti ada kebahagiaan akan menjelma juga.’’ Demikian cerita Ramey tentang pengalamannya digoda suami dan ditipu tunang orang. 

Jadi kepada isteri yang suami anda suka bercinta, tanya suami dulu mengapa dia nak kahwin lain. Apakah dia ni berpenyakit kaki perempuan? Mungkin dia yang boleh beri jawapan. Jangan pukul rata tuduh semua gadis atau wanita gilakan suami anda. Fikir-fikirkanlah. 

Sekiranya anda ingin menghubungi penulis telefon 0192393419 atau email [email protected]   atau  [email protected]