Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Sabtu lalu.

UCAPAN penuh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam bahasa Melayu pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mampu membuka mata pemimpin dan seluruh Keluarga Malaysia untuk bersama-sama ‘berani’ mengantarabangsakan bahasa kebangsaan.

Menyifatkan Perdana Menteri suri teladan yang baik kepada rakyat, pensyarah linguistik Dr Raja Rajeswari Seetha Raman berkata Ismail Sabri semalam telah meletakkan penanda aras yang tinggi dalam memartabatkan bahasa Melayu, sekali gus mempromosi identiti Malaysia di pentas dunia.

“Kita boleh katakan Perdana Menteri ‘cakap serupa bikin’ dalam apa yang beliau katakan sebelum ini. Apabila beliau sendiri mengamalkan apa yang diusahakan, ia akan memberi keyakinan yang tinggi kepada rakyat untuk melakukan perkara sama di pentas dunia yang lain.

“Hal ini juga merupakan satu kebanggaan kerana tidak pernah Perdana Menteri sebelum ini ‘berani’ menggunakan bahasa kebangsaan di persidangan antarabangsa jadi Ismail Sabri memang sudah mencipta satu sejarah penting dalam memartabatkan bahasa kebangsaan,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri mencipta sejarah sebagai pemimpin tertinggi Malaysia yang pertama berucap menggunakan bahasa kebangsaan sepenuhnya pada perhimpunan diplomatik terbesar itu yang diadakan di New York, Amerika Syarikat.

Beliau yang tampil segak berbaju Melayu hitam lengkap bersongkok mencuri tumpuan delegasi lain sebaik melangkah masuk ke dewan utama, manakala seluruh delegasi negara termasuk Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah turut memakai baju kebangsaan dan batik Malaysia.

Baca artikel berkaitan: Malaysia masih mempunyai 54 peratus kawasan hutan – Ismail Sabri

Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Teo Kok Seong pula menyifatkan penggunaan bahasa kebangsaan di pentas dunia itu membuka kebolehpasaran bahasa Melayu di peringkat global.

Penonjolan bahasa kebangsaan di pentas dunia itu katanya, membuka peluang warga asing untuk mendekati Malaysia dan mengetahui lebih mendalam kepelbagaian budaya, agama dan bangsa yang terdapat di negara bertuah ini.

“Apabila bahasa Melayu digunakan, diperdengarkan pada dunia, pastinya secara tidak langsung lahir minat individu asing untuk mengetahui lebih lanjut mengenai bumi Malaysia dan lebih penting lagi ia menjadi pembakar semangat kepada rakyat Malaysia sendiri untuk menghargai bahasa kebangsaan.

“Kita perlu ambil peristiwa ini sebagai satu langkah untuk rakyat menerima dan menggunakan bahasa kebangsaan dengan sepenuh hati. Untuk bahasa Melayu diterima di luar negara, kita seharusnya memantapkan penggunaanya di dalam negara juga,” katanya.

Langkah Perdana Menteri mengenakan baju Melayu turut dipuji Pensyarah Kanan Teknologi Media, Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Azahar Kasim yang menyifatkan langkah itu sebagai usaha memperkenalkan budaya Malaysia.

Kebanggaan Ismail Sabri mempamerkan busana tradisional itu di pentas dunia melambangkan sikap beliau yang menghormati budaya tempatan dan menzahirkan jati diri sebagai rakyat Malaysia.

“Pemakaian lounge suit dan tali leher merupakan budaya barat yang dicedok dan dalam urusan antarabangsa menetapkan kod pemakaian seperti itu sehingga ia menjadi lumrah.

“Apabila Perdana Menteri memakai busana baju Melayu dan berucap dalam bahasa Melayu, ia adalah penegasan kepada komuniti dunia tentang jati diri dan identiti masyarakat Malaysia,” katanya.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram