Datuk Onn Hafiz Ghazi. GAMBAR: BERNAMA

KERAJAAN Negeri Johor akan mengiktiraf dan memberi penghargaan sewajarnya kepada semua atlet serta kontinjen negeri itu yang mempamerkan aksi cemerlang dalam Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 yang berakhir semalam.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, Johor telah berjaya mencipta sejarah apabila berjaya menjadi juara buat pertama kali dalam 36 tahun penganjuran Sukma.

Ia selepas kontinjen negeri itu memperoleh 77 emas, 52 perak dan 43 gangsa mengetepikan Terengganu serta Wilayah Persekutuan masing-masing di tangga kedua dan ketiga.

Menurut Onn Hafiz, kerajaan negeri juga sedang merancang ‘sesuatu’ untuk meraikan kejayaan diraih kontinjen Johor itu bersama rakyat.

“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua atlet, barisan kejurulatihan, pihak pengurusan, Majlis Sukan Negeri Johor serta semua pihak yang telah menyumbang dalam kejayaan cemerlang kontinjen Johor.

“Insya-Allah kerajaan negeri akan mengiktiraf dan memberi penghargaan yang sewajarnya kepada semua atlet dan kontinjen Johor yang telah mengharumkan nama negeri yang kita sayangi ini,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Baca artikel berkaitan: Sertai tinju kerana selalu bertumbuk, Jackson kini rangkul emas Sukma

Onn Hafiz turut mengambil kesempatan menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan keluarga diraja Johor yang tidak henti mendoakan serta memberikan semangat kepada kontinjen Johor.

Sementara itu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut menzahirkan ucapan tahniah kepada kontinjen Johor atas kejayaan tersebut.

“Tahniah kontinjen Johor juara Sukma 2022,” titah Sultan Ibrahim menerusi hantaran di Facebook rasmi baginda.

Turut menzahirkan ucapan sama Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada kontinjen Johor yang memenangi Sukma 2022 yang menutup tirainya hari ini (semalam).

“Saya merasa bangga melihat kontinjen Johor dapat meraih 77 emas dalam kejohanan kali ini, sekali gus berjaya melepasi sasaran awal yang diletakkan iaitu 40 emas. Tahniah saya ucapkan sekali lagi kepada kontinjen Johor,” titah Tunku Ismail menerusi hantaran di Facebook rasmi baginda.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram