YONAGUNI merupakan sebuah pulau di kepulauan Yaeyama di Okinawa, Jepun. Pulau ini menjadi tumpulan kumpulan penyelam disebabkan kehadiran populasi jerung jenis tukul ketika musim sejuk.

Namun, pulau itu mula menjadi tumpuan pengkaji selepas penemuan sebuah monumen pada kedalaman 25 meter dari permukaan bawah laut yang dianggarkan berusia sekitar 10,000 tahun.

Tinggalan yang dinamakan sebagai monumen Yonaguni itu menjadi tumpuan kerana keunikannya. Kesan tinggalan purba di dasar laut itu ditemui oleh seorang penyelam, Kihachiro Aratake pada tahun 1987.

Pada mulanya, Aratake berasa aneh dengan penemuan itu kerana tiada siapa pernah memaklumkan tentang binaan di bawah laut bersaiz besar itu.

Pemeriksaan yang dilakukan mendapati ia bukan struktur semula jadi, sebaliknya lebih kepada monumen buatan manusia. Berdasarkan laporan Yayasan Penyelidikan Faram, kajian pertama telah dijalankan pada tahun 1996 oleh Profesor Masaaki Kimura, dari Universiti Ryukyus.

Beliau berpendapat binaan purba yang dijumpai itu merupakan salah satu bukti kewujudan tamadun prasejarah yang canggih. Binaan itu mempunyai lapisan padat menyebabkan ia turut disebut sebagai piramid bertingkat. Namun, ia berbeza dari piramid segi tiga lain.

Penemuan monumen Yonaguni ini membuat ramai penyelam datang ke sini.

Figura monumen Yonaguni berbentuk segi empat tepat dan sedikit membujur jika dilihat dari pandangan atas. Saiznya berukuran lebih daripada 165 kaki panjang (50 meter) dan 65 kaki lebar (20 meter).

Penelitian yang dilakukan oleh Prof. Kimura turut mendapati bahawa monumen Yonaguni terhasil daripada batuan pasir sederhana dan halus. Kebanyakan pembentukan tugu dilihat seolah-olah diukir dari satu jisim batu asas. Kaedah sudut tepat, bahagian tepi batu yang tajam dan permukaan rata tugu menjadi antara elemen yang menunjukkan bongkah batu besar itu mendapat pengaruh manusia.

Selain itu, penemuan ke atas beberapa lukisan haiwan pada permukaan batu menguatkan lagi teori penyelidikan Prof. Kimura. Jelasnya, dalam tempoh 10,000 tahun lalu, paras air laut naik kira-kira 40 meter dari keadaan semasa ia ditemukan. Kejadian yang berlaku secara semula jadi itu dipercayai menjadi punca tinggalan purba berkenaan berada di bawah permukaan air.

Lakaran bentuk monumen Yonaguni.
Gambaran monumen Yonaguni.

Ramai yang menyokong teori kajian berkenaan. Namun, ada juga segelintir saintis yang tidak bersetuju dengan pendapat beliau dan berpendapat penemuan itu terbentuk hasil daripada proses geologi semula jadi.

Dr. Robert Schoch dari Universiti Boston merupakan antara ahli geologi yang menentang teori Prof. Kimura. Pada tahun 1997, dia melakukan selaman kali pertama bagi melihat sendiri keadaan tugu tersebut.

Ketika itu, Schoch tidak dapat menentukan jenis susunan batu yang terlibat dalam pembentukan monumen Yonaguni. Hal itu disebabkan oleh kehadiran pelbagai organisma seperti alga, batu karang dan spons yang berada pada permukaan bongkah batu itu. 

Pun begitu, selepas beberapa kali melakukan selaman serta mengkaji geologi tempatan dan geomorfologi pulau, Dr. Schoch berpendapat bahawa monumen Yonaguni terdiri daripada batuan dasar hidup yang padat. Tidak ada bahagian dari monumen yang dibina daripada jenis blok batu berasingan. Struktur batuan yang diukir dan disusun pasti menunjukkan kesan buatan manusia. Walau bagaimanapun, dia tidak dapat menemui bukti sedemikian.

Dr. Schoch yakin bahawa gelombang semula jadi dan keadaan pasang surut laut menjadi faktor perubahan kepada batuan di kawasan permukaan. Pada masa sama, proses hakisan yang dialami menyebabkan bentuk batu pasir berubah daripada asal. Berdasarkan perbandingan ciri-ciri berkenaan, beliau percaya monumen Yonaguni terbentuk hasil dari proses geologi dan geomorfologi semula jadi.

Perdebatan pandangan daripada penyelidik masih tidak dapat menentukan fakta sebenar mengenai monumen Yonaguni. Terdapat banyak perkara yang menimbulkan percanggahan tentang tugu misteri yang wujud di bawah permukaan laut itu.

Apa yang pasti, kini lebih ramai penyelam datang ke pulau itu bukan sekadar melihat jerung tukul, tetapi juga menyaksikan monumen tersebut.

____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram