Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. GAMBAR: Abd Razak Aid

BAJET 2023 yang akan dibentangkan pada 7 Oktober depan bakal memberi tumpuan kepada mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif terutama buat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Pada masa sama, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Bajet 2023 turut memfokuskan persekitaran perniagaan untuk mencapai ketahanan serta daya saing tinggi melalui penerapan teknologi yang inovatif.

Kata beliau, kerajaan turut melihat untuk menaik taraf pembangunan modal insan dan tenaga kerja golongan PMKS negara ini.

“Bajet 2023 akan mengekalkan fokus pada momentum pemulihan ekonomi negara, di samping mengutamakan pembaharuan berterusan untuk meningkatkan kebajikan rakyat.

“Ia juga menambah baik daya saing perniagaan bagi memastikan kita sebagai sebuah negara bersedia untuk menempuh sebarang cabaran yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucap tama majlis pemeteraian kerjasama antara CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd. dengan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC), hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul bagaimanapun mengingatkan bahawa banyak cabaran yang bakal dihadapi bagi suku keempat dan keseluruhan tahun 2023.

Baca artikel berkaitan: Penebusan penuh Sukuk Prihatin, sukuk digital pertama Malaysia – Tengku Zafrul

Jelas beliau, senario tersebut ekoran perang di Ukraine yang berterusan; prinsip sifar-COVID China; pendekatan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat dalam menaikkan kadar faedah bagi menangani inflasi dan gangguan rantaian bekalan.

Sehubungan itu, Tengku Zafrul berkata, agensi pemudahcara sektor perniagaan seperti CGC dan SJPP seharusnya bersiap sedia untuk terus membantu PMKS mempertahankan pemulihan yang telah dicapai pasca-pandemik.

Beliau berkata, agensi pemudahcara itu secara kolektif dapat membantu dalam memastikan PMKS Malaysia yang juga nadi ekonomi negara, untuk terus menyesuaikan diri serta maju dalam landskap ekonomi yang sentiasa berubah.

“Dalam hal membina daya tahan, automasi dan pendigitalan juga penting serta perkara ini pastinya akan terus diberi penekanan dalam Bajet 2023.

“Walau apa cabaran sekali pun, seperti yang telah terbukti semasa zaman pandemik, Insya-Allah kita akan capai keberhasilan positif melalui usaha sama kita membantu sektor perniagaan bertahan dan bangkit semula,” jelas beliau.

Tengku Zafrul berkata kerajaan juga yakin ekonomi Malaysia mampu mencapai unjuran rasmi keluaran dalam negara kasar (KDNK) antara 5.3 peratus dan 6.3 peratus bagi tahun ini.

Malah, katanya, kerajaan turut optimis prestasi ekonomi pada suku ketiga tahun ini akan terus kukuh berdasarkan petunjuk ekonomi semasa yang positif selepas prestasi memberangsangkan 8.9 peratus pada suku kedua.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram