PESERTA Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9), Roy Kapilla diumumkan sebagai penyanyi pertama tersingkir daripada program realiti terbabit, semalam.

Roy yang mencatatkan markah terendah iaitu 53.20 peratus menyedari telah membuat kesilapan sebaik dirinya berada di atas pentas bagi mempersembahkan lagi Izinkan Selamanya Namamu Di Hati daripada kumpulan Eye.

“Sebenarya saya sudah tahu kesalahan saya di mana. Apa yang saya lakukan di atas pentas, saya sudah nampak.

“Apabila saya pergi ke belakang, saya dapat rasa. Tak perlu tertanya-tanya lagi, saya sudah tahu ke mana saya akan pergi.

“Nyanyian saya memang banyak yang tak okay. Apa yang juri komen itu memang betul. Dalam GV9 ini pun saya yang paling tua tapi saya bangga dan mengucapkan terima kasih kepada kru produksi.

“Saya bertuah dapat menyertai musim kali ini,” katanya memetik laporan Gempak.

Roy juga bercadang untuk kembali aktif dalam dunia seni jika kesihatannya mengizinkan.

Mengulas lanjut mengenai penyingkiran Roy,selaku ketua juri, Datuk Ramli MS berkata, persembahan 12 peserta lain dilihat lebih baik berbanding Roy sekaligus menjadi faktor penyingkiran dirinya.

“Berdasarkan daripada tiga minit yang dipersembahkan, lagu itu sendiri tidak seiring dengan nyanyian. Yang dinilai ialah nyanyian dia, sepatutnya Roy menyanyi seiring dengan muzik.

“Satu lagi faktor Roy tersingikir ialah sebab orang lain menyanyi lebih elok. Itulah adalah yang seadilnya,” ujarnya.

GV9 bersiaran dari Auditorium MBSA, Shah Alam, setiap Ahad, pukul 9 malam di Astro Ria (104).