rawatan jika dipatuk ular
Sekadar gambar hiasan

Ramai yang beranggapan apabila seseorang dipatuk ular, perkara yang perlu dilakukan adalah menyedut bisa ular. Sebenarnya itu adalah tindakan yang salah, malah membahayakan untuk mereka yang menyedutnya juga.

Menurut Ketua Jabatan Pesakit Luar, Kemalangan & Kecemasan, Hospital Pakar An-Nur, Dr. Fadzilah Abdul Jalil, tindakan menyedut bisa ular adalah salah. Tindakan sedut, korek atau meletak ais adalah sama sekali tidak dibenarkan.

Ia salah kerana pertama, racun itu mungkin boleh masuk ke badan orang yang menyedut dan keduanya, air liur orang menyedut boleh menyebabkan jangkitan pada luka tersebut. Jadi apabila ada jangkitan beserta dengan racun yang ada, luka patukan ular lambat untuk sembuh.

Begitu juga dengan tindakan mengikat bahagian anggota badan yang terkena patukan ular. Tindakan itu sebenarnya tidak menghalang pergerakan racun tetapi menambahkan lagi bengkak pada luka patukan dan merosakkan tisu.

Tegas Dr. Fadzilah, perkara utama dan penting yang harus dilakukan adalah jangan gerakkan bahagian anggota yang dipatuk. Ini kerana dengan pergerakan, racun ular itu mudah dan cepat untuk masuk ke peredaran darah mangsa seterusnya mengakibatkan kematian.

Walaupun patukan dikategorikan kepada dua iaitu patukan yang mempunyai racun atau bisa dan satu lagi patukan yang tiada racun tetapi pastikan anggota mangsa yang cedera tidak digerakkan.

Selepas mangsa dialihkan ke tempat selamat dan pada masa yang sama juga harus pastikan bahagian anggota badan yang dipatuk tidak digerakkan. Kedudukan anggota badan contohnya tangan yang dipatuk juga haruslah berada bawah daripada paras kedudukan jantung.

Jika di bahagian tangan, anduh tangan supaya pergerakan dapat dikurangkan. Begitu juga jika di bahagian kaki, sokong atau ampu supaya pergerakan kurang dan balut dengan bandage atau kain bersih.

Untuk pengetahuan, jika dipatuk pada anggota badan, racun tersebut tidak terus memasuki saluran darah tetapi ia melalui saluran limfa dahulu. Ia disebabkan oleh protein racun ular bermolekul besar dan tidak boleh terus masuk ke saluran kapilari darah.

Baca artikel berkaitan: Hukum membunuh dan memakai aksesori dari kulit ular

Ia sebenarnya ada masa untuk kita bantu supaya racun lambat merebak. Dan mengikat bahagian anggota tercedera tidak memberi kesan bagi menghalang penyebaran racun.

Bukan itu sahaja, selepas mengetahui seseorang itu dipatuk ular, elakkan memberikannya minuman seperti kopi dan teh kerana ia akan mempercepatkan proses penyerapan racun ke dalam darah.

Cara yang tepat jika kaki dipatuk ular.

Dan perkara paling penting adalah jangan biarkan mangsa berada dalam keadaan panik. Redakan perasaannya supaya dia lebih bertenang kerana apabila berada dalam keadaan panik, dia akan lebih banyak bergerak seterusnya mempercepatkan racun merebak di dalam darah hingga ke keseluruhan badan,” ujar Dr. Fadzilah.

Simptom mangsa patukan ular

Menurut Dr. Fadzilah lagi, di Malaysia terdapat tiga jenis ular berbisa iaitu jenis elapidae (ular tedung, ular katam tebu dan ular matahari), rotalinae ular kapak (pitriper) dan jenis hydropidae (ular laut /air) . Jika seseorang dipatuk ular jenis-jenis ini, ia mendedahkan simptom yang berbeza.  

Mangsa patukan ular seperti tedung dan dari keluarga yang sama akan menyebabkan bengkak dan sakit dalam masa lebih kurang setengah jam. Toksik yang dikeluarkan biasanya menyebabkan mangsa mendapat kesan saraf yang menyebabkan mata mangsa menjadi kuyu, sawan, otot muka lumpuh, tekanan darah jatuh dan kesukaran bernafas.

Artikel berkaitan: Anda ingin membela ular fikir dahulu masak-masak dan ketahui apa hukumnya

Kalau kumpulan kedua berbisa iaitu kategori ular kapak pula, kebanyakan mangsa akan mengalami simptom seperti mengalami pendarahan luar dan dalam. Pendarahan juga boleh berlaku tanpa henti terutamanya pada kesan gigitan, gusi dan saluran kencing. Bukan itu sahaja, bahagian yang terkena patukan ular kapak cepat dirasai kesakitan iaitu dalam tempoh lima minit.

Manakala kumpulan ketiga berbisa kategori ular laut atau air ini pula, kesan kesakitan yang dirasai oleh mangsa biasanya dalam tempoh setengah jam. Simptomnya selalu menyerang otot mangsa yang membuatkan mereka susah menggerakkan otot ataupun menggerakkan anggota badan yang lain seperti kaki atau tangan. Lebih menakutkan jika tiada rawatan dalam tempoh tiga hingga enam jam, racun yang menyerang otot boleh menyebabkan sel otot pecah dan berlaku pendarahan.

Jadi di sini, jika mangsa tidak dapat memberitahu jenis ular yang mematuknya  dan dengan simptom yang ditunjukkan oleh mangsa, doktor boleh cuba mengenal pasti jenis ular. Menerusi daripada maklumat itu lah, kita dapat memberikan anti venom yang sesuai,” tegas Dr. Fadzilah.

Penggunaan anti venom

Tutur Dr. Fadzilah, tidak semua gigitan ular adalah berbisa. Jika mangsa tidak menunjukkan simptom-simptom seperti yang disebut di atas, mangsa akan diletakkan di bilik pemerhatian rapi dan anti venom tidak perlu diberikan kepada mangsa.

Malah tidak semua mangsa patukan ular berbisa yang diberikan anti venom memberikan respons positif. Sebagai pengetahuan, mangsa kanak-kanak biasanya menerima kesan dari racun dengan kadar yang cepat disebabkan faktor saiz badan. Akan tetapi jika mangsa dihantar awal ke hospital, kemungkinan besar golongan ini dapat diselamatkan.

Anti venom juga dikategorikan kepada dua jenis iaitu yang spesifik terhadap satu jenis ular atau ‘mono-valent’ dan kombinasi beberapa jenis ular atau ‘poly-valent’. Susulan itu, pengecaman jenis ular oleh mangsa sebenarnya memudahkan doktor memberikan anti venom yang bersesuaian dan lebih spesifik supaya risiko alahan dikurangkan.

Malaysia tidak menghasilkan anti venom. Anti venom yang terdapat di hospital-hospital terpilih di Malaysia merupakan yang diimport dari luar negara. Jika mangsa mempunyai alahan terhadap serum kuda atau alahan kepada anti venom sebelum ini, pemberian anti venom boleh menimbulkan bahaya.  

Oleh itu, mangsa juga boleh mendapat kesan sampingan akibat anti venom itu sendiri. Menurut Dr. Fadzilah, kesan sampingannya adalah hampir sama dengan jika seseorang itu mengalami alahan pada sesuatu protein atau bendasing.

Contohnya, loya atau mual pada mula-mula mangsa menerima anti venom, mangsa juga mungkin mengalami ruam atau merah-kemerahan pada badan. Tetapi ada juga beberapa kes yang teruk sehingga mangsa mendapat renjatan anafilaksis. Wallahu a’lam

_______________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare