ULAMA tersohor dunia kelahiran Mesir, Sheikh Dr Yusuf Abdullah al-Qaradawi menghembuskan nafas terakhir hari ini pada usia 96 tahun.
Berita pemergian Ketua Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa (IUMS) itu diumumkan di akaun media sosial rasmi Allahyarham dan juga disahkan oleh anaknya Abdul Rahman Yusuf al-Qaradawi melalui akaun Twitternya.
Intelektual Islam terkenal itu pernah menerima Tokoh Maal Hijrah Peringkat Antarabangsa sempena sambutan Maal Hijrah Kebangsaan di Kuala Lumpur pada 2009.
“Imam Yusuf Al Qardhawi, semoga Allah merahmatinya, yang menghabiskan hidupnya demi menjelaskan syariat Islam dan membela ummatnya, meninggal siang tadi,” memetik kenyataan akaun Facebook Yusuf hari ini.
Ulama besar itu menghembuskan nafas terakhir di Qatar di mana beliau hidup dalam buangan susulan tindakan tentera menumbangkan kerajaan pimpinan Ikhwanul Muslimin di Mesir pada 2013.
Semasa hidupnya, Sheikh Yusuf lantang mengkritik kerajaan pimpinan Presiden Mesir, Abdel Fatah al-Sisi.
BERITA BERKAITAN Dr Yusuf al-Qaradawi positif COVID-19 walau telah divaksin
Allahyarham telah menghasilkan lebih 120 buah buku termasuk naskhah perundangan Islam serta menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa.
Allahyarham sangat masyhur menerusi program Sharia and Life terbitan saluran berita antarabangsa, Al-Jazeera yang dianggarkan ditonton oleh 40 hingga 60 juta penonton di seluruh dunia.
Pertubuhan Ikhwanul Muslimin yang diasaskan di Mesir dan berkembang di serata dunia Arab, memainkan peranan utama dalam kebangkitan pada 2011 yang menggegarkan rantau Asia Barat dan memegang tampuk pemerintahan selepas menggulingkan diktator Hosni Mubarak.
Bagaimanapun, pemerintahan Ikhwanul Muslimin selama lebih setahun berakhir dengan rampasan tentera dalam tahun 2013. – Agensi
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram