Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin GAMBAR: Abd Razak Aid

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak mungkin akan bekerjasama dengan UMNO kerana perkara itu telah diputuskan perhimpunan agung UMNO, tahun lalu.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun Pas berusaha mewujudkan perpaduan ummah, namun realitinya dalam perhimpunan agung UMNO, parti itu memutuskan untuk tidak menerima dan bekerjasama dengan Bersatu dan ia kekal sehingga hari ini.

“Dulu UMNO juga jemput kita jadi anggota Muafakat Nasional, kita dah jawab setuju tapi tidak jadi apa-apa.

“Jadi jelas terbukti UMNO langsung tidak mahu bekerjasama,” katanya dalam sidang media hari ini.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional berkata, oleh itu Bersatu menerima keputusan UMNO sebagai satu kenyataan.

Jelasnya, bila berlaku pilihan raya umum, parti yang tidak sehaluan dengan PN atau mahu bertanding di kerusi sama ditandingi akan ditentang gabungan itu.

“Kita akan tentang macam biasalah, bukan sebagai musuh agama tetapi musuh politik,” katanya.

Muhyiddin pada soalan Barisan Nasional (BN) bukan musuh Pas mahu perkara itu dilihat dalam konteks pertemuan terkini beliau dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Beliau juga mahu kenyataannya itu tidak disalah tafsir kerana bila berlaku pilihan raya, sudah pasti berlaku pertembungan antara parti.

“Saya sebagai Pengerusi PN bergantung kepada keputusan PN bukannya keputusan Pas.

“(semasa pilihan raya) Kita juga akan bertembung dengan parti tidak sehaluan dengan kita dan selama ini PH (Pakatan Harapan) dan juga BN.

“Kalau nak jelas agar mesej kita sampai ke bawah agar ahli tidak keliru, setiap benda yang tak sehaluan dengan kita itu bukan kawan kita. Biar rakyat putuskan,” katanya.