a.r. tompel

Satu dalam seribu. Sebut sahaja A.R. Tompel, pasti terbayangkan wajah dan gelagat lucu figura lagenda ini menerusi filem Do Re Mi, Keluarga 69 dan Anak Bapak.

Namun di sebalik populariti yang diraih, terdapat kisah menarik dan lucu yang tidak pernah diketahui ramai.

Tompel bukan sebarang Tompel, bukan kerana penampilan. Namun nama unik ini diperoleh kerana minatnya terhadap penulisan dan pementasan sandiwara. Nasib Si Tompel, Mimpi Si Tompel dan Si Tompel Tertuduh menyebabkan nama itu melekat sehingga hari ini.

Ikuti bingkisan cerita menarik daripada Buku Jejak Terbilang : 60 Tokoh Perfileman Negara.

Buku ini boleh didapati di link ini.

“Walaupun sudah hampir 50 tahun beliau kembali ke rahmatullah, namun sebenarnya ramai daripada kita yang tidak tahu bagaimana pelakon dan pelawak terkenal, A.R. TOMPEL mendapat nama tersebut.

Ini kerana nama A.R. Tompel lebih dikenali hingga ramai yang lupa nama sebenarnya, Aman Ramli.  Malah, sejak beliau meninggal dunia pada 30 Januari 1973 hinggalah sekarang, kita lebih mengenali beliau sebagai A.R. Tompel, bukannya Aman Ramli.

Sebenarnya ada cerita menarik dan lucu berkaitan dengan nama Tompel ini.

Nama asal A.R. Tompel ialah Aman Ramli bin Jaafar. Beliau dilahirkan di Tanjung Balai, Asahan, Indonesia.

Macam mana dapat nama Tompel?

Begini… semenjak di bangku sekolah lagi Aman Ramli ini sangat minat menulis dan mengarang cerita. Minat ini dipengaruhi oleh hobinya yang suka berkhayal. Apabila meningkat remaja, beliau sudah mula mengarang cerita untuk pementasan sandiwara.

Kebanyakan cerita yang ditulis oleh Aman Ramli  akan menyelitkan sindiran halus terhadap penjajah Belanda. Pada suatu ketika, beliau menulis cerita lucu secara bersiri, antaranya Nasib Si Tompel, Mimpi Si Tompel dan Si Tompel Tertuduh. Siri cerita lucu si Tompel ini sangat disukai ramai hingga akhirnya nama Tompel melekat kepada dirinya sendiri.

Sejak itulah Aman Ramli dikenali sebagai Tompel. Orang memanggil dan mengenalinya dengan nama itu. Untuk jadi nama komersil, ditambah A.R. (Aman Ramli) di depannya, menjadi A.R. Tompel.

Dalam kamus besar Bahasa Indonesia, tompel bermaksud parut luka atau noda hitam di kulit, muka dan sebagainya.

Tapi cerita nama ini belum habis.

Ketika usianya 20an, A.R. Tompel menyertai kumpulan sandiwara Keris Opera. Bersama kumpulan ini A.R. Tompel melakukan pelbagai pekerjaan. Di belakang pentas, A.R. Tompel mengarang cerita, mengatur set dan pelbagai tugas lagi. Di atas pentas pula beliau menari, berlakon dan berlawak.

Pada 1946, A.R. Tompel mengikuti kumpulan sandiwara Rayuan Asmara, ke Singapura. Dalam rombongan itu beliau menjadi penulis cerita, pelakon dan penolong pengarah pementasan. Beliau kemudian beralih ke dunia perfileman pada 1949 untuk mengembangkan kebolehannya dalam bidang penulisan serta lakonan.

A.R. Tompel seterusnya diterima bekerja dengan syarikat Malay Film Production (MFP) yang sedang mencari pekerja baru untuk mengembangkan perniagaannya. Kehadiran A.R. Tompel sangat menguntungkan MFP kerana beliau mempunyai banyak kebolehan, terutamanya melakonkan watak-watak lucu dan membantu pengarah filem. Sementelah ketika itu MFP hanya mempunyai seorang pengarah saja iaitu B.S. Rajhans yang berasal dari India.

Nama A.R. Tompel mula dikenali ramai apabila beliau berlakon dalam filem Rachun Dunia arahan B. S. Rajhans pada 1950. Bintang utama filem itu ialah Osman Gumanti, Kasma Booty, Siput Sarawak dan P. Ramlee yang ketika itu hanyalah seorang pelakon pembantu sahaja. Dalam filem tersebut A.R. Tompel melakonkan watak lucu dan kejayaannya membawa watak itu menyebabkan penonton ketawa terbahak-bahak.

Tapi A.R. Tompel ini `pengilat’ juga, hahaha…

Walaupun masih bekerja dengan MFP, A.R. Tompel secara sembunyi-sembunyi bekerja dengan syarikat Nusantara Film… sedangkan Nusantaara Film adalah pesaing MFP. Di Nusantara Film, A.R. Tompel menulis skrip, sekali gus mengarah filem. Oleh sebab bimbang akan dikenakan tindakan undang-undang, beliau menggunakan nama samaran Armaya.

Anda kenal nama itu? Armaya Aman Ramli. Ya, itulah nama salah seorang anak A.R. Tompel, yang kemudian mengikut jejak langkah beliau menjadi pelakon, pelawak dan pengarah filem  iaitu A.R. Badul.

Kembali ke cerita asal…

Di Nusantara Film, A.R. Tompel sempat mengarah enam buah filem iaitu Perkahwinan Rahsia, Norma, Chinta Murni, Sehati Serasa, Sesal Sudah dan Seniati.

Setelah kontraknya dengan MFP tamat pada 1951, A. R. Tompel kembali meneruskan kegiatan bersandiwara dengan memimpin kumpulan sandiwaranya snediri, Kenchana. Bersama kumpulan ini beliau menjelajah ke seluruh pelosok Tanah Melayu termasuk Sabah, Sarawak dan Brunei. Selepas 8 tahun memimpin Kenchana, A.R. Tompel kembali ke dunia filem. Pada 1961 beliau mengarah sebuah filem berjudul Abu Nawas yang dilakonkan oleh Jah Ismail, Yusof Bujang dan beliau sendiri.

Pembabitan A.R. Tompel dalam dunia perfileman sangat diingati melalui pembabitannya dalam filem arahan P. Ramlee. Ini kerana P. Ramlee banyak mengundang beliau untuk menjayakan filem-filem komedinya, termasuklah Laxmana Do Re Mi yang merupakan filem terakhir Tompel dan filem terakhir arahan P. Ramlee.

Sepanjang hidupnya A.R. Tompel berkahwin sebanyak 4 kali. Pertama dengan P. Suriati (ibu A.R. Badul). Kedua, dengan Salmah Ismail. Ketiga, Jah Ismail dan terakhir, Ruminah Sidek (ibu kepada pelakon, Adlin Aman Ramli).

Kehebatan A.R. Tompel ini sangat sukar ditandingi. Aksi dan dialog-dialog lucunya dalam sekuel filem Do Re Mi, Keluarga 69 (1966) dan Anak Bapak (1967) boleh diingati sehingga sekarang.

Namun kita ini milik Dia.

A.R. Tompel, seniman yang begitu banyak berjasa dalam dunia perfileman negara, menghembuskan nafas terakhirnya di Setapak, Kuala Lumpur pada 30 Januari 1973 selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya. Pemergian beliau itu memberi kesan mendalam kepada sahabat baiknya, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Selang empat bulan kemudian P. Ramlee pula meninggal dunia iaitu pada 29 Mei 1973, juga di Setapak.

Jasa kedua-dua tokoh seni negara ini akan kita ingati sampai bila-bila. Semoga roh kedua-dua mereka ditempatkan bersama hamba-hambaNya yang dikasihi, mukminin dan solihin. Al-Fatihah.

Kredit : Buku Jejak Terbilang : 60 Tokoh Perfileman Negara, terbitan Finas.

https://shopee.com.my/product/123254563/17075039567…

——-

Apakah filem, babak dan dialog Allahyarham A. R. Tompel yang paling anda ingati?

#artompel #pramlee #SenimanAgung #JalanAmpas #MFP #Finas #saloma #ARBadul #ruminahsidek #tompel #pumpkinstreetbookline.”

Sumber : Zulkarnain Zakaria