Muhyiddin Yassin menghadiri perasmian Muktamar Tahunan Pas ke-68 yang disempurnakan Abdul Hadi Awang di Alor Setar hari ini./Gambar Fb Muhyiddin Yassin

PAS kekal komited untuk bersama Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan tidak timbul isu parti itu mahu keluar daripada gabungan berkenaan.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu disampaikan sendiri semasa pertemuan beliau dan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang di kediamannya, semalam.

Beliau berkata, Abdul Hadi turut menjelaskan pertemuannya dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selama 30 minit baru-baru ini yang mana tiada sebarang keputusan penting dicapai.

“Tiada sebarang keputusan dicapai (dalam pertemuan itu) selama setengah jam dan tidak jadi apa-apa.

“Bagusnya beliau (Abdul Hadi) melaporkan perkara itu kepada saya,” katanya pada sidang media hari ini.

Pertemuan selama dua jam di kediaman Muhyiddin itu turut dihadiri Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Radzi Jidin manakala Pas turut disertai Naib Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, beliau diberi bayangan Pas juga akan memuktamadkan hala tuju parti itu bersama PN dan UMNO dalam masa terdekat.

Beliau berkata, mungkin mereka tiada lagi kaitan dengan UMNO namun Bersatu menyerahkan keputusan itu kepada Pas.

“Kita bagi pandangan supaya kita tak dilihat tidak kukuh dalam bentuk gabungan kita. Kita mesti ada pendirian dalam semua perkara.

“Ini agar tiada pertembungan kepentingan sebab kita nak tentukan kemenangan kita dalam pilihan raya yang akan datang,” katanya.