tnb
SEORANG pemeriksa meter TNB sedang mengira jumlah caj yang dikenakan untuk pelanggan. - Gambar hiasan

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjaya membongkar kegiatan mencuri bekalan elektrik yang melibatkan kerugian lebih RM1 juta, selepas menyerbu sebuah premis perniagaan ikan sejuk beku dan menahan 57 warga asing tanpa dokumen di Hutan Melintang di Ipoh, semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata serbuan oleh pasukan Special Engagement Against Losses (SEAL) TNB pada 12.30 tengah hari itu mendapati premis berkenaan melakukan pengusikan pada meter elektrik sehingga menyebabkan ia gagal merekod bacaan dengan sempurna.

“Hasil siasatan mendapati berlaku penyambungan dan pengubahsuaian wayar di bilik pencawang elektrik TNB, dan premis ini menjalankan aktiviti menggunakan elektrik secara curang sejak 2016, melibatkan kerugian yang dianggar bernilai RM1.3 juta di pihak TNB.

“Kita buka kertas siasatan di bawah Seksyen 37 (1), Seksyen 37 (3) dan Seksyen 37 (14)  Akta Bekalan Elektrik 1990 iaitu denda tidak lebih RM100, 000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam sidang medianya hari ini. 

Katanya serbuan turut disertai anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman itu juga antara kejayaan terbesar Polis Perak menumpaskan kegiatan curi elektrik setakat ini. 

BERITA BERKAITAN TNB tawar insentif khas kepada pelanggan komersial sempena Hari Kebangsaan

“Premis terbabit juga pernah dikenakan kompaun sebanyak lima kali oleh pihak TNB namun masih berdegil dan akhirnya kegiatan mereka dapat ditumpaskan melalui serbuan semalam. 

“Jika premis terbabit tidak melakukan mencuri elektrik secara curang, dianggarkan bayaran bulanan premis itu sekitar RM90, 000 dan bila ada pengubahsuaian maka mereka hanya membayar sekitar RM15, 000 sahaja,” katanya.

Beliau berkata 57 warga asing yang terdiri daripada warga Myanmar, Indonesia, Bangladesh dan Vietnam didireman hingga 10 Okt depan untuk disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tiada dokumen perjalanan diri yang sah. 

Menurutnya seorang lelaki tempatan berumur 31 tahun yang turut ditahan dalam serbuan itu, direman empat hari bagi membantu siasatan.

— BERNAMA