Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak GAMBAR: Abd Razak Aid

PEMBELAAN Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perbicaraan kes rasuah membabitkan RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini mengemukakan surat daripada kerabat diraja Arab Saudi yang menyatakan bahawa bekas Perdana Menteri itu menerima hadiah wang tunai AS$100 juta sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau kepada dunia Islam.

Surat menggunakan kepala surat Pejabat Peribadi Saud Abdulaziz Majid Al Saud, bekas Gabenor Wilayah Madinah, turut menyebut hadiah itu adalah sempena persahabatan yang terjalin antara kedua-duanya dan sebagai menghargai idea-idea baharu Najib selaku pemimpin Islam moden.

Peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed, ketika membacakan surat yang ditandatangani pada 1 Feb 2011, berkata antara lain putera itu memberikan Najib sejumlah AS$100 juta sebagai hadiah yang akan dimasukkan ke dalam akaun beliau.

“Surat itu turut menyatakan bahawa Najib hendaklah memiliki budi bicara mutlak bagi menentukan bagaimana hadiah tersebut akan digunakan bagi mempromosi Islam agar ia terus berkembang dan putera berkenaan menambah baginda tidak mengharapkan sebarang faedah peribadi sama ada secara langsung atau tidak langsung susulan pemberian itu,” katanya.

Wan Aizuddin berkata demikian ketika menyoal saksi pendakwaan ke-37 iaitu R.Uma Devi yang merupakan Pengurus Cawangan AmBank (M) Berhad Jalan Raja Chulan mengenai surat itu apabila merujuk beliau kepada dua dokumen berkaitan deposit berjumlah RM60.6 juta serta RM30.2 juta yang diterima oleh Najib antara Februari dan Jun 2011.

Baca artikel berkaitan: Mahkamah tetapkan 29 November sebutan semula kes kedua SRC Najib

Wan Aizuddin: Adakah anda bersetuju bahawa terdapat kesimpulan yang tidak dapat dinafikan bahawa AS$100 juta yang disebut dalam surat itu dan kedua-dua transaksi ini adalah hadiah peribadi?

Uma Devi: Saya tidak boleh membuat kesimpulan kerana jumlahnya berbeza dan juga tidak pasti sama ada surat itu telah diberikan kepada pihak bank sebelum kedua-dua transaksi dilakukan.

Wan Aizuddin: Daripada pihak cawangan bank, surat ini tidak pernah dirujuk?

Uma Devi: Ya.

Saksi berusia 43 tahun itu turut memberi keterangan bahawa tiada tindakan diambil bagi menghentikan kemasukan AS$620 juta ke akaun Najib pada Ogos 2013 kerana tiada amaran dikeluarkan kepada pihak bank apabila transaksi itu dilakukan.

Beliau berkata terdapat beberapa tanda amaran yang diteliti oleh bank seperti jumlah wang yang dipindahkan, tujuan dan pendedahan maklumat daripada pelanggan.

“Saringan akan dibuat berdasarkan kesemua tanda amaran ini. Pelanggan tidak akan dimaklumkan kerana ia akan menyebabkan mereka berjaga-jaga,” katanya sambil menambah pelanggan tidak akan dimaklumkan bagi membolehkan pihak bank menjalankan siasatan apabila terdapat tanda amaran.

Najib, 69, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB funds dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram