Dalam kehidupan ini yang terindah, melalui usia remaja, bak kata Datuk Shiela Majid. Pada usia beginilah pelbagai rasa, emosi dirasai segenap jiwa dan mendidik diri bagaimana untuk mengawal perasaan dan tindakan.

Remaja mula merasakan pentingnya untuk mereka memiliki sendiri ruang peribadi dan tidak berkongsi dengan yang lain.

Malah menurut perkongsian Lyna Noh, menurut kajian yang pernah dilakukan tentang masalah kerosakan akhlak di kalangan remaja, puncanya ialah kerana ketiadaan ruang peribadi di rumah sendiri.

Ada segelintir remaja yang lebih senang menghabiskan masa di luar dan hanya balik untuk tidur. Tidak kurang juga yang lebih selesa duduk di asrama kerana ketiadaan bilik di rumah sendiri.

“Alhamdulillah… akhirnya siap juga pasang katil ‘asrama’ untuk boys. Bertahun-tahun mereka berkongsi katil akhirnya dapatlah katil seorang satu.

Masa belajar dulu saya pernah buat satu kajian tentang masalah kerosakan akhlak di kalangan remaja. Lebih spesifik tentang budaya lepak dan gejala-gejala tidak sihat yang lain.

Salah satu punca adalah kerana ketiadaan ruang untuk mereka di rumah sendiri. Tak cukup bilik, misalnya rumah cuma ada 2 bilik, satu bilik ibu bapa & satu bilik untuk anak-anak perempuan. Anak-anak lelaki tiada tempat mereka nak berehat, menyebabkan mereka lebih suka keluar. Ada juga yang bilik banyak, tapi kena berkongsi dengan maksu, paksu, mak lang, pak ngah….

Dari situ saya belajar bahawa ruang peribadi adalah penting untuk perkembangan anak-anak. Saya sendiri membesar dengan ruang peribadi. Sekalipun berkongsi dengan adik perempuan saya, tapi kami ada katil masing-masing (katil double decker). Begitu juga dgn adik2 lelaki saya.

Alhamdulillah kami adik beradik bebas dari budaya-budaya seperti di atas. Semua orang lebih suka duduk di rumah. Keluar sekejap-sekejap jumpa kawan-kawan, tapi recharge di ruang sendiri di rumah kami.

Hinggalah sekarang pun mak ayah saya tetap sediakan ruang masing-masing untuk anak-anak yang dah berkeluarga.

Anak-anak saya masa kecil semuanya berkongsi ruang – katil, almari, etc. semuanya satu. Saya bincang dengan suami, bila mereka meningkat remaja kita kena sediakan ruang peribadi untuk mereka. Katil sendiri, almari sendiri.. biar mereka ada sense of belonging di rumah sendiri.

Saya teringat beberapa orang kawan saya, dulu di asrama, mereka memberitahu yang lebih suka duduk di asrama. Ada ruang sendiri. Di rumah tak ada bilik. Kena kongsi dengan adik-beradik yang ramai. Bila di asrama ada katil sendiri, loker sendiri, rasa selamat nak simpan barang-barang peribadi.

Syukur alhamdulillah, Allah kurniakan nikmat ni untuk anak2.. rezeki anak-anak orang kata. Saya doakan ibu bapa di luar sana yang punya anak remaja, dipermudahkan untuk menyediakan ruang peribadi untuk anak-anak di rumah. Mudah-mudahan mengelakkan mereka dari mencari ruang di luar. Sekaligus menurunkan statistik gejala sosial.

Namun begitu ada juga yang kata, bila ada ruang sendiri ni, macam-macam budak-budak sekarang boleh buat. Dengan sekarang ni kecoh tentang DS (dark side) di twitter… sebab tu lah kata orang kampung saya “it takes a village to raise a child”, nak besarkan anak bukan dengan satu laluan saja. Dah beri ruang, beri juga perhatian, beri juga kasih sayang, dorongan, pemerhatian, hukuman…. Dan doa.

Bukan senang nak besarkan anak. Kita cuma boleh berusaha dan berdoa sebaiknya. Percayalah yang Allah akan mudahkan… dan ’kemudahan’ Allah tu kadangkala datang dengan cara tak diduga.. sebab tu kena kuatkan hubungan dengan Allah. Mudah-mudahan Dia bimbing hati kita & anak-anak untuk nampak beza benda yang haq dan yang batil.

Cadar tu berkedut-kedut kerana menurut pengilangnya, kalau tak kedut tu sebab banyak letak bahan kimia. Cadar yang bagus dan selamat mesti berkedut.

Terima kasih baca sampai habis.”

Sumber : Lyna Noh