gambar fail kes bunuh

SEORANG lelaki warga Myanmar menikam sehingga mati kekasihnya sebelum bertindak membunuh diri dengan terjun dari tingkat lapan sebuah apartmen di  Taman Kilangin, Jalan Sungai, di sini, malam ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa wanita yang juga warga Myanmar, Khin Nyein, 30, ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah di balkoni tingkat lapan apartmen itu manakala mayat teman lelakinya berusia 30-an di parkir tingkat bawah perumahan tersebut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Supt V. Saravanan, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 8 malam, terus ke lokasi kejadian dan menemukan dua mayat warga asing tersebut.

Katanya, menurut rakan sekerja mangsa wanita itu, mereka berdua baru pulang dari tempat kerja di sebuah kilang di sini dan semasa sampai di tingkat lapan rumah mereka, tiba-tiba teman lelaki mangsa datang dan terus memeluk kekasihnya.

 “Lelaki itu kemudiannya menutup mulut teman wanitanya dan terus menikam mangsa di bahagian perut beberapa kali dengan pisau…saksi cuba menyelamatkan mangsa namun ditolak oleh suspek,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.

Saravanan berkata mayat kedua-dua warga asing itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat.

“Pasangan kekasih itu tidak tinggal bersama dan pihak polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui punca sebenar kejadian tersebut,” katanya.- BERNAMA