مات واڠ تراول


ݢاليري نوسنتارا ايفيسود 20


باڬي كباڽقن اورڠ، دوءيت لاما موڠكين دأڠڬڤ تياد نيلاي اڤاته لاڬي جک اي تيدق لاڬي لاكو اونتوق دڬوناكن. بربيذا دڠن مريک يڠ ممڤوڽاءي هوبي مڠومڤول مات واڠ لاما، كيني كوليكسي دوءيت لاما اين بوكن سقدر هوبي سمات-مات تتاڤي جوݢ بوليه منجان ڤنداڤتن سمڤيڠن.

ستياڤ ساتو دوءيت لاما اين ممڤوڽاءي سجاره ترسنديري يڠ مڠڬامبركن ڤرجالنن ايكونومي دنيا سجق زمان دهولو.

دوءيت شيليڠ تراول دكنلي سباڬاي ‘ستاتر’ تله دتمڤا ڤد قرون ک-7 سبلوم مسيحي (SM) دليديا، سبواه نڬري دباوه ناءوڠن ايمڤاير يوناني (هاري اين دكنلي سباڬاي تركي).

شيليڠ اين دڤڠڬيل ‘ستاتر’ يڠ برمقصود ‘ڤنيمبڠ’ دالم بهاس يوناني يڠ دڤربوات درڤد ايليكتروم ياءيت چمڤورن لوڬم امس دان ڤيرق. لاما كلاماءن، اي هاڽ دڤربوات درڤد امس دان ڤيرق تولين.


ڤڠڬوناءن واڠ شيليڠ اين كمودين ترسيبر كأيمڤاير لاءين دسلوروه دنيا يڠ كمودين مولا مڠحاصيلكن مات واڠ مريک سنديري.

دكڤولاون ملايو، ڤركمبڠن مات واڠ بركاءيت راڤت دڠن اكتيۏيتي ڤرداڬڠن. مات واڠ تراول يڠ دڬوناكن اياله كوليت سيڤوت ڬروس يڠ دڬونا ڤاكاي سجق ابد ک-3 مسيحي، يڠ دباوا ماسوق دري بورنيو دان كڤولاون مالديۏس.

مڠيكوت چاتتن اول دسمننجوڠ تانه ملايو، دوءيت شيليڠ ڤرتام دحاصيلكن سماس زمان ڤمرينتهن سلطان مظفر شاه دأيرا كسلطانن ملاک ڤد تاهون 1445. ڤد موک شيليڠ ترسبوت ترترا نام سلطان يڠ ممرينته دان ڬلرن اسلام بڬيندا.

نامون، منوروت وان محمد دانيال وان عمر، كوراتور موزيوم دان ڬاليري سني بڠک نڬارا، فكتا تربارو منونجوقكن دوءيت شيليڠ تراول دتانه ملايو دڤركنلكن اوليه كسلطانن قدح ڤد ابد ک-13 مسيحي.

“سبلوم اين چاتتن سجاره منونجوقكن كسلطانن ملايو ملاک مڠحاصيلكن دوءيت شيليڠ تراول دتانه ملايو. تتاڤي برداسركن ارتيفک دان كاجين تربارو منداڤتي سبنرڽ شيليڠ تراول دحاصيلكن اوليه كسلطانن قدح ڤد ابد ک-13 مسيحي. كتيک ايت، سلطان محمد شاه (1201 – 1236 مسيحي) تله مڠلواركن شيليڠ يڠ دحاصيلكن درڤد ڤيرق.

“ستله قدح، باروله ڤڠحاصيلن شيليڠ دأيكوتي اوليه كسلطانن ملايو يڠ لاءين سڤرتي ملاک، ڤهڠ، جوهر، ڤيراق، ڤرليس، ترڠڬانو، سلاڠور دان كلنتن. ماجوريتي كسلطانن دتانه ملايو كتيک ايت مڠلواركن دوءيت شيليڠ سنديري اونتوق كڬوناءن هارين،“ جلس دانيال.

زمان دهولو، كباڽقن دوءيت شيليڠ دحاصيلكن درڤد تيمه كران تانه ملايو كاي دڠن بيجيه تيمه، سلاءين يڠ دحاصيلكن دڠن ڤيرق دان امس. انتارا ڤڠڬيلن شيليڠ اين سڤرتي مس، كوڤڠ، ڤيتيس، كتون دان ترا.

جک سجاره دوءيت شيليڠ برمولا ڤد زمان ايمڤاير يوناني، دوءيت كرتس ڤولا دكاتاكن برمولا دأيمڤاير چينا.

“واڠ كرتس ڤولا مولا دڤركنلكن دچينا ڤد ابد ک-7 مسيحي كتيک ڤمرينتهن دنستي تڠ دان دڬوناكن سچارا راسمي ڤد ابد ک-11 مسيحي دزمان دينستي سوڠ.

“اصلڽ برمولا اڤابيلا مشاركت چينا سوک مڽيمڤن بارڠ برهرݢ مريک ڤد توكڠ امس يڠ اكن مڠلواركن سجنيس رسيت. رسيت ايتوله يڠ دڬوناكن ڤندودوق دالم ڤمبلين. لاما كلاماءن، رسيت ايت برتوكر فوڠسي منجادي واڠ كرتس،“ ترڠ دانيال تنتڠ سجاره ڤرمولاءن واڠ كرتس.

كماسوقن ڤنجاجه ڤورتوڬيس، بلندا، ايڠڬريس دان جڤون توروت ممباوا مات واڠ مريک يڠ دڬوناكن دكڤولاون ملايو. مات واڠ ڤرسكوتوان تانه ملايو ڤولا دكلواركن ستله بڠک نڬارا تانه ملايو دتوبوهكن ڤد تاهون 1959.

ستله ڤرسكوتوان تانه ملايو برتوكر منجادي مليسيا، بڠک نڬارا مليسيا تله مڠلواركن مات واڠ مليسيا ڤرتام يڠ دڬلر ‘ريڠڬيت’ ڤد 12 جون 1967.

سجق دكلواركن، دوءيت شيليڠ دان واڠ كرتس كيت تله ملالوءي ببراڤ سيري ايۏولوسي. واڠ كرتس مليسيا سوده ملالوءي امڤت سيري ايۏولوسي. سيري كأمڤت برتيماكن كأونيكن مليسيا يڠ دكلواركن ڤد تاهون 2012 اداله يڠ ماسيه دڬونا ڤاكاي سهيڠݢ سكارڠ. ماناكالا دوءيت شيليڠ ڤولا تله ملالوءي تيݢ سيري ايۏولوسي.

جک اندا ايڠين تاهو لبيه دكت تنتڠ سجاره مات واڠ، بركونجوڠله كموزيوم دان ڬاليري سني بڠک نڬارا مليسيا يڠ ترلتق دساسان كيجڠ، جالن داتوق عون، كوالا لمڤور.

ڤلباڬاي جنيس مات واڠ دڤاميركن دسيني سام اد دري زمان كسلطانن ملايو، زمان ڤنجاجهن سهيڠڬاله كأيرا مودن ماس كيني. ڤلباڬاي شيليڠ درڤد تيمه، تمباݢ، ڤيرق دان امس دالم برباڬاي بنتوق دڤاميركن.

انتارا مات واڠ ترتوا يڠ اد دسيني اياله ‘دوءيت هيدوڠ سموت’ يڠ دحاصيلكن ڤد تاهون 1050 سهيڠݢ 256 سبلوم مسيحي. مات واڠ يڠ دڤربوات درڤد تمباݢ اين دڤركنلكن سماس ڤمرينتهن دينستي چاو دچينا، نامون دوءيت اين توروت دڬوناكن دتانه ملايو.

ترداڤت جوݢ كوليت سيڤوت ڬروس، انتارا مات واڠ تراول يڠ دڬوناكن دتانه ملايو. انتارا يڠ اونيک اياله مات واڠ بربنتوق حيوان يڠ دحاصيلكن اوليه نڬري يڠ مڠلواركن بيجيه تيمه.

“مات واڠ بنتوق حيوان اين اد مقصود ترسنديري. اي بركاءيت دڠن كڤرچاياءن زمان دولو، چونتوهڽ سماڠت حيوان اونتوق منجاݢ كاوسن بيجيه تيمه. چونتوهڽ، بنتوق ايم جنتن دان كمبيڠ ملامبڠكن ڤڠوربانن. بنتوق كورا٢ ملامبڠكن اوسيا ڤنجڠ، ڬاجه ڤولا لامبڠ كقواتن. ماناكالا بنتوق بوايا دان ايكن دڤرچاياءي داڤت مڠاليركن بيجيه تيمه كلومبوڠ بركناءن.

“مات واڠ حيوان اين سلالوڽ دحاصيلكن اوليه ‘ڤاوڠ كليان’ ياءيت بوموه اتاو ڤاوڠ يڠ ممڤوڽاءي ڤڠتاهوان دري سودوت سڤيريتوال. اورڠ اكن مروجوع كڤد ڤاوڠ اين اونتوق مڠتاهوءي حيوان اڤ يڠ سسواي اونتوق دجاديكن بنتوق مات واڠ مريک،“ جلس دانيال.

GALERI NUSANTARA 20

Mata Wang Terawal

Bagi kebanyakan orang, duit lama mungkin dianggap tiada nilai apatah lagi jika ia tidak lagi laku untuk digunakan. Berbeza dengan mereka yang mempunyai hobi mengumpul mata wang lama, kini koleksi duit lama ini bukan sekadar hobi semata-mata tetapi juga boleh menjana pendapatan sampingan.

Setiap satu duit lama ini mempunyai sejarah tersendiri yang menggambarkan perjalanan ekonomi dunia sejak zaman dahulu.

Duit syiling terawal dikenali sebagai ‘Stater’ telah ditempa pada kurun ke-7 Sebelum Masihi (SM) di Lydia, sebuah negeri di bawah naungan empayar Yunani (hari ini dikenali sebagai Turki).

Syiling ini dipanggil ‘Stater’ yang bermaksud ‘penimbang’ dalam bahasa Yunani yang diperbuat daripada elektrum iaitu campuran logam emas dan perak. Lama kelamaan, ia hanya diperbuat daripada emas dan perak tulen.

Penggunaan wang syiling ini kemudian tersebar ke empayar lain di seluruh dunia yang kemudian mula menghasilkan mata wang mereka sendiri.

Di Kepulauan Melayu, perkembangan mata wang berkait rapat dengan aktiviti perdagangan. Mata wang terawal yang digunakan ialah kulit siput gerus yang diguna pakai sejak abad ke-3 Masihi, yang dibawa masuk dari Borneo dan Kepulauan Maldives.

Mengikut catatan awal di semenanjung Tanah Melayu, duit syiling pertama dihasilkan semasa zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Shah di era Kesultanan Melaka pada tahun 1445. Pada muka syiling tersebut tertera nama Sultan yang memerintah dan gelaran Islam baginda.

Namun, menurut Wan Muhammad Danial Wan Omar, Kurator Muzium dan Galeri Seni Bank Negara, fakta terbaru menunjukkan duit syiling terawal di Tanah Melayu diperkenalkan oleh Kesultanan Kedah pada abad ke-13 Masihi.

“Sebelum ini catatan sejarah menunjukkan Kesultanan Melayu Melaka menghasilkan duit syiling terawal di Tanah Melayu. Tetapi berdasarkan artifak dan kajian terbaru mendapati sebenarnya syiling terawal dihasilkan oleh Kesultanan Kedah pada abad ke-13 Masihi. Ketika itu, Sultan Muhammad Shah (1201 – 1236 Masihi) telah mengeluarkan syiling yang dihasilkan daripada perak.

“Setelah Kedah, barulah penghasilan syiling diikuti oleh kesultanan Melayu yang lain seperti Melaka, Pahang, Johor, Perak, Perlis, Terengganu, Selangor dan Kelantan. Majoriti kesultanan di Tanah Melayu ketika itu mengeluarkan duit syiling sendiri untuk kegunaan harian,” jelas Danial.

Zaman dahulu, kebanyakan duit syiling dihasilkan daripada timah kerana Tanah Melayu kaya dengan bijih timah, selain yang dihasilkan dengan perak dan emas. Antara panggilan syiling ini seperti mas, kupang, pitis, keton dan tra.

Jika sejarah duit syiling bermula pada zaman empayar Yunani, duit kertas pula dikatakan bermula di empayar China.

“Wang kertas pula mula diperkenalkan di China pada abad ke 7 Masihi ketika pemerintahan Dinasti Tang dan digunakan secara rasmi pada abad ke 11 Masihi di zaman Dinasti Song.

“Asalnya bermula apabila masyarakat China suka menyimpan barang berharga mereka pada tukang emas yang akan mengeluarkan sejenis resit. Resit itulah yang digunakan penduduk dalam pembelian. Lama kelamaan, resit itu bertukar fungsi menjadi wang kertas,” terang Danial tentang sejarah permulaan wang kertas.

Kemasukan penjajah Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun turut membawa mata wang mereka yang digunakan di Kepulauan Melayu. Mata wang Persekutuan Tanah Melayu  pula dikeluarkan setelah Bank Negara Tanah Melayu ditubuhkan pada tahun 1959.

Setelah Persekutuan Tanah Melayu bertukar menjadi Malaysia, Bank Negara Malaysia telah mengeluarkan mata wang Malaysia pertama yang digelar ‘Ringgit’ pada 12 Jun 1967.   

Sejak dikeluarkan, duit syiling dan wang kertas kita telah melalui beberapa siri evolusi. Wang kertas Malaysia sudah melalui empat siri evolusi. Siri keempat bertemakan keunikan Malaysia yang dikeluarkan pada tahun 2012 adalah yang masih diguna pakai sehingga sekarang. Manakala duit syiling pula telah melalui tiga siri evolusi.

Jika anda ingin tahu lebih dekat tentang sejarah mata wang, berkunjunglah ke Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia yang terletak di Sasana Kijang, Jalan Dato Onn, Kuala Lumpur.

Pelbagai jenis mata wang dipamerkan di sini sama ada dari zaman Kesultanan Melayu, zaman penjajahan sehinggalah ke era moden masa kini. Pelbagai syiling daripada timah, tembaga, perak dan emas dalam berbagai bentuk dipamerkan.

Antara mata wang tertua yang ada di sini ialah ‘duit hidung semut’ yang dihasilkan pada tahun 1050 sehingga 256 Sebelum Masihi. Mata wang yang diperbuat daripada tembaga ini diperkenalkan semasa pemerintahan Dinasti Chao di China, namun duit ini turut digunakan di Tanah Melayu.

Terdapat juga kulit siput gerus, antara mata wang terawal yang digunakan di Tanah Melayu. Antara yang unik ialah mata wang berbentuk haiwan yang dihasilkan oleh negeri yang mengeluarkan bijih timah.

“Mata wang bentuk haiwan ini ada maksud tersendiri. Ia berkait dengan kepercayaan zaman dulu, contohnya semangat haiwan untuk menjaga kawasan bijih timah. Contohnya, bentuk ayam jantan dan kambing melambangkan pengorbanan. Bentuk kura-kura melambangkan usia panjang, gajah pula lambang kekuatan. Manakala bentuk buaya dan ikan dipercayai dapat mengalirkan bijih timah ke lombong berkenaan.

“Mata wang haiwan ini selalunya dihasilkan oleh ‘pawang kelian’ iaitu bomoh atau pawang yang mempunyai pengetahuan dari sudut spiritual. Orang akan merujuk kepada pawang ni untuk mengetahu haiwan apa yang sesuai untuk dijadikan bentuk mata wang mereka,” jelas Danial.