PELAKON Anna Jobling meluahkan rasa kesal dan sedih terhadap segelintir pihak yang tergamak menghina atau ‘body shame’ ibunya di media sosial.

Anna turut mempersoalkan tindakan warganet yang menjadikan ibunya sebagai mangsa buli siber dengan mengelarkan wanita itu sebagai pembantu rumah atau bibik.

“Kenapa perlu hina mak orang sampai begitu sekali. Boleh tak menghormati keluarga saya?

“Kalau ada masalah, beritahu saya, jangan babitkan mereka. Jangan ganggu keluarga saya sebab ibu saya tak kacau sesiapa pun. Apa kalian akan rasa kalau ada seseorang kurang ajar dengan keluarga kalian pula?,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Menurut pelakon Melur Untuk Firdaus itu lagi, dia akui hatinya terguris setiap kali membaca komen-komen di media sosial yang mengutuk ibunya.

Komen negatif netizen terhadap ibu Anna Jobling

Pun begitu, Anna tetap bersyukur kerana ibunya seorang wanita yang kuat dan hebat kerana mampu bersabar mendepani cabaran dunia seni.

“Dia sangat kuat dan tak kisah apa orang nak cakap. Dia hanya memberi fokus penuh kepada saya. Jadi terpulang kepada orang luar nak buat apa.

“Sedih itu memang sudah semestinya sebab ibu saya tak ganggu orang. Mungkin sebab saya adalah figura awam, jadi netizen rasa mereka boleh komen apa saja mengenai saya.

“Kenapa tak nak komen mengenai kerjaya saya saja? Tapi nak buat macam mana, netizen kan ada mulut. Mereka akan sentiasa bercakap,” ujarnya.