feri
Gambar hiasan Feri di Pulau Pinang

PEMERHATI Rasuah Malaysia (MCW) meminta kerajaan negeri Pulau Pinang menerima hakikat kenyataan Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencagahan Rasuah (SPRM) mengenai keadaan rasuah di negeri itu yang dikatakan dalam keadaan membimbangkan kerana ia akan memberi kebaikan dalam jangka masa panjang.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang diharapkan agar tidak terlalu ‘defensif’ dan sewajarnya menerima kenyataan ini secara positif dan mengatur pelbagai langkah bagi memastikan agar masalah rasuah dapat dicegah dengan segera dari terus merebak di negeri ini.,” kata MCW dalam satu kenyataan.

Semalam dilaporkan sebanyak 919 aduan diterima SPRM berhubung kesalahan menerima suapan, salah guna kuasa dan membuat tuntutan palsu dalam kalangan penjawat awam di Pulau Pinang sejak 2019 sehingga kini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, daripada jumlah itu sebanyak 312 aduan melibatkan kes menerima suapan manakala salah guna kuasa (147 kes).

MCW berpendapat bahawa kenyataan KP SPRM pasti mempunyai asas dan berfakta dengan pelbagai kes yang telah dilaporkan akan disiasat dengan teliti, di samping ada kes yang telah dan akan dibawa ke mahkamah dalam masa yang terdekat.

BERITA BERKAITAN Jangan berhelah nafi kewujudan ‘gajah’ rasuah di hadapan mata – Sultan Nazrin

“Masalah rasuah adalah masalah sejagat terutamanya di negeri yang maju kerana peruntukan atau jumlah perbelanjaan yang besar pasti akan membukan ruang dan peluang untuk berlakunya rasuah. Ekonomi yang berkembang pesat di Pulau Pinang adalah antara faktor penting yang mendorong rasuah semakin membimbangkan di Pulau Pinang,” kata MCW..

MCW berharap pihak SPRM meneruskan usaha yang agresif untuk membanteras rasuah di semua negeri demi memastikan masalah itu dikawal terutamanya dalam sektor awam kerana segelintir penjawat awam kelihatan semakin berani melakukan perbuatan tersebut akibat ketidakstabilan politik dewasa ini.

“Hakikat bahawa rasuah di Malaysia termasuk di Pulau Pinang adalah seperti kanser yang sedang merebak adalah rahsia umum yang telah diketahui oleh segenap lapisan rakyat. Pelbagai kaedah pencegahan kelihatan kurang berkesan kerana ‘ketamakan telah mengatasi prinsip kehidupan yang berintegriti’” tambah MCW. – UtusanTV