INSTITUT Masa Depan Malaysia (MASA) mencadangkan supaya kerajaan meneliti dua bidang fokus khusus dalam Bajet 2023 iaitu konsolidasi fiskal dan memperkukuh Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Ketua Pegawai Eksekutif MASA, Azril Mohd Amin berkata sehingga Jun 2022, hutang negara dilaporkan mencecah RM1.045 trilion, manakala pembayaran perkhidmatan hutang Kerajaan Persekutuan pula sebanyak RM43.1 bilion, atau bersamaan 18.4 peratus daripada hasil pendapatan negara.
Dalam pada itu, sebanyak RM19.8 bilion telah dibelanjakan untuk pembayaran semula kadar faedah hutang sedia ada menjelang akhir Jun 2022, katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata Malaysia memerlukan kedudukan fiskal yang lebih kukuh dengan mengambil kira ketidaktentuan pasaran ekonomi global.
“Perbelanjaan operasi Malaysia terdiri daripada emolumen merangkumi hampir 37 peratus manakala caj persaraan sebanyak 12 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).
“Dalam hal ini, langkah utama yang wajar dipertimbangkan adalah mengurangkan perbelanjaan kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azril berkata, kerajaan juga perlu perlu meneliti pendekatan alternatif bagi menguruskan aliran tunai secara sistematik serta mengurangkan bebanan perbelanjaan lebihan terhadap projek yang kurang memanfaatkan rakyat, sebaliknya meletakkan fokus utama kepada taraf hidup dan kesejahteraan masyarakat berbanding pembinaan jalan raya atau pencakar langit.
BERITA BERKAITAN Bajet 2023 dibentang semula jika PRU-15 masa terdekat
“Kerajaan juga perlu merangka strategi penjanaan pendapatan yang baharu dengan menumpukan kepada peningkatan produktiviti nasional.
“Mengambil kira nilai percukaian meliputi hampir 73.2 peratus daripada jumlah hasil pendapatan, sumber pendapatan baharu harus diteroka termasuk memanfaat potensi bidang ekonomi digital dan automasi dalam meningkatkan daya saing dan produktiviti negara,” katanya.
Dari segi PMKS, Azril berkata, institusi perbankan harus membenarkan kelonggaran dari segi pembayaran balik serta penstrukturan semula pinjaman kepada pihak berkaitan.
“Dengan mengambil kira syor yang dikemukakan oleh Majlis Pemulihan Negara (MPN), moratorium yang spesifik perlu disediakan kepada para peniaga yang terkesan, pasca Covid-19.
“Kenaikan kadar dasar semalaman atau OPR sebanyak tiga kali turut menjejaskan momentum pemulihan ekonomi negara.
“Justeru, isu yang dihadapi oleh sektor PMKS perlu ditangani segera dan secara tuntas dalam Bajet 2023, melalui penyelesaian jangka pendek serta panjang yang berimpak tinggi demi menjamin kelangsungan PMKS,” katanya.
MA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram