Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan pada tahun ini juga.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia selaras dengan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan setelah pembubaran Parlimen dibuat dalam masa terdekat.

Beliau berkata, keputusan pembubaran Parlimen itu adalah antara ketetapan dicapai dalam mesyuarat MKT UMNO yang dipengerusikan oleh Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, keputusan mesyuarat itu adalah berasaskan pendirian konsisten UMNO sejak dari awal untuk memulangkan mandat rakyat yang tertangguh akibat Pandemik Covid-19 setelah runtuhnya Kerajaan Pakatan Harapan kerana persengketaan dalaman politik sesama mereka.

“Sehubungan itu, semua jentera parti di setiap peringkat adalah diarahkan untuk memuktamadkan segala persiapan yang telah dibuat sebelum ini bagi memasuki fasa pembubaran sehinggalah kepada tarikh Pilihan Raya Umum ke-15.

“UMNO percaya hanya dengan mengembalikan hak rakyat bagi membolehkan mandat sebenar diperolehi, maka sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk bagi memulihkan negara khususnya dalam aspek ekonomi yang berkait rapat dengan soal kesejahteraan hidup mereka, disamping beberapa usaha pembaharuan institusi ke arah mewujudkan tadbir urus yang lebih baik buat negara,” katanya dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat MKT UMNO malam ini.

Ahmad berkata, mesyuarat itu juga menyambut baik keputusan Kabinet yang mengarahkan siasatan lanjut dan tindakan perundangan segera dilaksanakan oleh agensi-agensi penguat kuasa berkaitan bagi menyiasat salah laku bekas Peguam Negara Tommy Thomas.

Mesyuarat juga katanya menggesa agar Laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan Ke Atas Buku Tommy Thomas bertajuk “My Story: Justice In the Wilderness” untuk segera didedahkan kepada umum.

“Ini penting bagi memulihkan imej dan integriti institusi kehakiman serta kedaulatan undang-undang negara, seperti contoh yang terdapat di dalam muka surat 342 buku tersebut yang berkemungkinan melanggar Seksyen 32 Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009.

Dalam perkembangan berkaitan, UMNO juga menjunjung titah Sultan Johor pada 15 Mei 2022 lalu, yang mahukan laporan siasatan pasukan petugas khas dalam isu kedaulatan Batu Putih untuk segera dibentangkan dan didedahkan kepada umum kerana ia membabitkan soal maruah dan kedaulatan negara.

Selain itu katanya, Mesyuarat MKT menerima perletakan jawatan Tan Sri Zulhasnan Rafique sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO dan merakamkan ucapan terima kasih atas khidmat yang telah beliau berikan.

“Sebagai penggantinya, mesyuarat bersetuju untuk melantik Datuk Mohd Hafarizam Harun sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO yang baharu,” katanya.

Ahmad pada masa sama berkata, Mesyuarat MKT juga memecat Datuk Zaharin Mohd Yasin daripada menjadi ahli UMNO berkuat kuasa serta merta.

Katanya, keputusan itu mengikut Fasal 10.6 dibaca bersama Fasal 5.9 kerana melanggar Etika Ahli UMNO di bawah Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO.

Beliau menambah, Mesyuarat MKT juga mengambil maklum berkenaan kunjungan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang bertemu dengan Presiden UMNO baru-baru ini.