Bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Mohamad Daud Dolmoin.

ISU mengenai kemerosotan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini lebih-lebih lagi pada ketika ketidaktentuan ekonomi yang melanda.

Berdasarkan kadar tukaran mata wang dipaparkan di laman web Bank Negara Malaysia (BNM), ringgit ketika ini berada pada kadar RM4.634 berbanding dolar AS semasa ditutup semalam.

Ia juga telah menjadi ‘modal politik’ bagi sesetengah pemimpin untuk menyerang kerajaan.

Ada juga cadangan supaya Malaysia kembali menambat ringgit kepada dolar AS, seperti yang dilakukan sewaktu Krisis Kewangan Asia pada tahun 1997/1998.

Bagaimanapun, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam kenyataan pada 21 September lalu menolak cadangan berkenaan kerana tindakan tersebut disifatkan mempunyai risiko dan penggantian yang besar.

Langkah direncana kerajaan itu disokong bekas Penolong Gabenor BNM, Datuk Mohamad Daud Dol Moin yang mengatakan perubahan dinamik pasaran berbanding ketika krisis kewangan 1997 membuatkan langkah itu tidak lagi relevan.

Menurut Mohamad Daud, sekiranya ringgit ditambat kepada dolar sekali pun, negara tidak mampu untuk bertahan lama kepada tambatan tersebut.

Kata beliau, ini kerana Malaysia sudah kehilangan kebebasan untuk menentukan polisi kewangan.

Malah, beliau berkata, trend AS turut menunjukkan bahawa negara itu akan terus menaikkan kadar faedah bagi mengawal kenaikan inflasi di negara mereka.

“Sekiranya kita tambat kepada dolar AS dan mereka menaikkan kadar faedah, kita terpaksa ikut, jika tidak nilai mata wang kita tidak akan dapat naik.

“Daripada apa yang kita baca dan dengar, AS memang mengutamakan untuk mengawal inflasi berbanding isu lain walaupun ekonomi mereka belum pulih sepenuhnya.

“Ini kerana kos inflasi kepada AS itu lebih besar berbanding kemelesetan ekonomi,” katanya.

Baca artikel berkaitan: [VIDEO] Kita perlukan ‘bomoh’ untuk pulihkan ekonomi negara – Ibrahim Abu Shah

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam Randau Ke-14: Kemakmuran Negara Tempang Dilanda Krisis Ekonomi-Kewangan anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM), semalam.

Selain Mohamad Daud, sesi randau itu turut menampilkan bekas Presiden Institut Akauntan Malaysia (MIA), Dr Salihin Abang; Ketua Eksekutif Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Sulaiman Mahbob dan Canselor University Cyberjaya, Prof Emeritus Tan Sri Anuwar Ali.

Mengulas lanjut, Mohamad Daud berkata, krisis ekonomi yang berlaku semasa tahun 1997 itu sebenarnya jauh lebih teruk berbanding apa yang dilalui ketika ini.

Beliau turut menyifatkan kerajaan telah menangani krisis yang tercetus sejak penularan COVID-19 itu dengan cara yang betul.

Namun begitu, Mohamad Daud yang bersara daripada BNM pada tahun 2009 berkata, kerajaan masih belum ada masa untuk melihat pada jangka masa panjang terutama bagi menyelesaikan isu berkaitan ringgit.

Salah satu perkara yang harus diteliti, kata beliau adalah kedudukan belanjawan negara yang telah lebih 20 tahun berada dalam kedudukan defisit.

“Bajet yang defisit sebenarnya menjadi antara penyumbang kenapa nilai ringgit kita jatuh.

“Kalau kita lihat kepada pemulihan semua sektor, sebenarnya tidak terlalu teruk dan saya rasa negara boleh keluar daripada kemelut ekonomi ini.

“Bagaimanapun, ada banyak faktor menentukan nilai ringgit dan tentunya melibatkan persepsi pelabur. Apabila ekonomi negara semakin pulih, kedudukan ringgit akan mengukuh,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram