SPESIES cacing ini memang agak aneh. Ia mempunyai kebolehan berevolusi dengan cara menyimpang daripada kebiasaan. Cacing ini disifatkan sebagai melanggar hukum alami kerana memiliki jantina bukan satu seperti mana cacing lain, tetapi menghasilkan tiga jenis kelamin yang berbeza.

Kelainan cacing Auabena rhodensis atau A. Rhodensis ini ditemui oleh Profesor Diane Shakes, seorang ahli biologi dari College of William and Mary di Williamsburg, Amerika Syarikat.

Setelah dikaji secara terperinci, Diane mengesahkan bahawa Auabena rhodensis yang juga dikenali sebagai nematoda merupakan spesies triseks. Bererti, ia memiliki tiga jantina iaitu jantan, betina dan hermafrodit.

Banyak spesies haiwan didapati menggunakan hermafrodit dalam melakukan proses pembiakan seksual. Cacing jenis ini salah satu daripadanya. Ia bukan sahaja mampu keluar mencari makanan, malah berupaya membina populasi baru.

Fakta ini telah diketahui sejak pertengahan tahun 70-an di mana Caenorhabditis elegans mempunyai kelamin jantan dan hermafrodit. Akan tetapi, spesies triseksual seperti cacing ini sangat jarang ditemukan.

Pada tahun 2004, seorang penyelidik bernama Marie-Anne Felix telah menerbitkan sebuah kertas kajian yang menyatakan nematoda yang hidup bebas dipanggil SB347 sebelum dinamakan Auanema rhodensis.

Dalam kajian itu menggariskan – spesies tersebut menghasilkan bukan satu, bukan dua, tetapi tiga jantina yakni jantan, betina dan hermafrodit.

Bagaimanakah ia melakukannya? Dijelaskan bahawasanya hermafrodit mampu menghasilkan telur dan sperma. Ia bukan sahaja boleh memilih sama ada mahu membiak dengan jantan atau betina, malah berupaya membiak melalui persenyawaan sendiri.

Apabila cacing spesies ini melakukannya, ia akan melanggar peraturan genetik tipikal untuk menghasilkan anak jantan. Dengan kata mudah, pembiakan antara betina dan lelaki hanya akan menghasilkan telur betina. Manakala bagi hermafrodit dengan jantan pula hanya akan menghasilkan banyak telur jantan.

Menurut Profesor Diane, menjadi spesies triseksual atau mempunyai tiga jenis jantina tidaklah pelik seperti yang difikirkan. Ia biasa berlaku dalam kalangan haiwan Invertebrata. Apa yang tidak lazim ialah hermafrodit berupaya untuk subur dan berkembang biak dengan sendiri. Tambah pelik ialah bagaimana cacing dengan tiga jantina itu berfungsi masih banyak yang menimbulkan persoalan.

Para ilmuwan telah mengkaji perkara itu dan menemukan sesuatu yang tidak dijangka. Daripada penelitian mendapati spesies cacing tiga jantina ini ternyata memiliki badan seperti betina. Meskipun begitu, ia didapati berupaya menghasilkan kedua-duanya sekali gus iaitu telur dan sperma.

Menurut penyelidik, cacing ini bertentangan dengan prinsip asas genetik Mendelian. Genetik Mendelian secara dasarnya menentukan sifat perwarisan yang dimiliki sama ada lelaki atau perempuan. Pada manusia, hal ini ditentukan oleh fakta bahawa wanita mempunyai dua kromosom X (XX) dan lelaki adalah XY.

Sel-sel seks ini berfungsi dengan menyumbang kromosom pada setiap persenyawaan. Oleh itu, semua telur yang dihasilkan oleh wanita membawa X tunggal, manakala sperma lelaki dijana dengan campuran 50:50 – X atau Y. Hasilnya, setiap kehamilan mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk mendapat anak lelaki atau perempuan.

Namun, apa yang berlaku pada cacing ini adalah bertentangan. Spesies ini mengembangkan cara untuk menyimpang daripada metodologi genetik. Khususnya, bagaimana ia mengendalikan kromosom X miliknya.

Profesor Diane sebelum ini mendapati bahawa sel penghasil sperma pada spesies jantan berupaya membentuk satu teknik dalam menghasilkan sperma X-bearing secara eksklusif. Bermakna, apabila jantan mengawan dengan betina akan menghasilkan anak betina.

Namun, kajian seterusnya mendapati bahawa hermafrodit mampu memanipulasikan dadu genetik. Berdasarkan peraturan genetik, hermafrodit XX perlu menghasilkan satu telur X dan satu sperma X. Akan tetapi, spesies ini didapati berupaya menghasilkan sperma dengan dua kromosom X tanpa telur.

Sehingga kini, para pengkaji masih bingung bagaimana cacing ini mampu berevolusi dengan cara begitu.  

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram