KETUA UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail

KETUA UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail menganggap penggantungannya dari UMNO bersama Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman semalam sebagai satu isyarat Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya menyegerakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Memetik laporan portal Warta Rakyat, Mohd Yusof berkata, Ahmad Zahid seboleh-bolehnya mahu supaya Parlimen dibubarkan segera agar PRU-15 dapat dilaksanakan pada bulan ini juga.

“Saya fikir tindakan ini adalah mesej yang nak disampaikan kepada Perdana Menteri sebab kedua-dua kami merupakan penyokong kuat Perdana Menteri, terutamanya dalam kumpulan Ketua Bahagian.

“Apa pun, saya tetap UMNO dan darah masih ‘biru’ (Barisan Nasional). Kita tunggu sajalah enam tahun, tak lama pun… Cuma enam kali raya saja,” katanya ketika dihubungi Warta Rakyat, hari ini.

Mohd Yusof dalam laporan itu memberitahu, setakat ini beliau masih belum menerima sebarang surat rasmi dari UMNO berhubung tindakan dikenakan terhadapnya dan hanya dimaklumkan mengenai perkara itu oleh rakan-rakan Majlis Tertinggi yang hadir dalam mesyuarat, malam tadi.

“Keputusan ini memang mengejutkan sebab saya tak tahu masalah apa yang saya timbulkan. Kalau saya buat salah, tak ada pula Lembaga Disiplin parti panggil.

“Saya difahamkan selepas mengumumkan tindakan terhadap kami semalam, Presiden terus keluar dari bilik mesyuarat tanpa ada perbincangan. Maknanya bukan Majlis Tertinggi yang buat keputusan sebaliknya Zahid yang buat dan klausa mana digunakan, saya pun tak tahu,” katanya.

Mohd. Yusof dalam pada itu memaklumkan, beliau sejak dari awal lagi sudah menyatakan kepada Presiden yang dirinya tidak berniat untuk bertanding dalam PRU-15 walaupun namanya disebut-sebut sebagai antara individu yang akan diangkat sebagai calon sekirangnya UMNO diberi ruang bertanding di Parlimen Alor Setar bagi menggantikan MCA.

“Saya awal-awal dah beritahu yang tak minat bertanding. Cumanya kita mahukan kerusi Parlimen Alor Setar itu diberikan kepada UMNO berbanding MCA, BN mampu merampas kerusi di situ. Itu saja,” katanya.