Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. GAMBAR: Abd Razak Aid

DATUK Seri Anwar Ibrahim secara sinis ‘meminta’ penyandang kerusi Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk menjaga sahaja kawasannya berbanding mencabar individu lain.

Presiden PKR itu turut memberi ‘amaran’ kepada Mohamed Azmin bahawa Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkenaan tidak berdepan tugas mudah mempertahankan kerusi yang disandang sejak 2008 itu.

“Sibuk dengan dia apa pasal? Dia jaga kawasan dia, tidak mudah bagi dia (mempertahankan kerusi Parlimen Gombak),” katanya ringkas seperti dipetik BH Online.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Mohamed Azmin yang seolah-olah mencabarnya bertanding di Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Ada orang sudah minat nak datang Gombak, silakan. Gombak terbuka, saya anak jantan.”

Itu kata Mohamed Azmin memberi bayangan sedia mempertahankan kerusi yang dimenanginya itu sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12).

Walaupun tidak menamakan individu tersebut, namun Mohamed Azmin dipercayai menujukan ‘cabaran’ tersebut kepada Anwar yang sebelum ini berhasrat untuk bertanding dan merampas kerusi Parlimen yang disandang oleh ‘pengkhianat’ PKR dan Pakatan Harapan (PH).

Baca artikel berkaitan: ‘Saya anak jantan, Gombak terbuka, silakan’ – Azmin

Mohamed Azmin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor juga terbuka untuk menentang sesiapa sahaja tidak kira isteri atau anak pencabarnya.

Mohamed Azmin secara sinis juga mengatakan ‘lawannya’ itu sudah tidak lagi relevan.

Malah, beliau menyifatkan tuduhan yang dilemparkan bahawa dirinya merupakan seorang ‘pengkhianat’ sudah melampau.

Rabu lalu, Anwar mendedahkan hasratnya untuk bertanding dan merampas kerusi Parlimen yang disandang oleh ‘pengkhianat’ PKR dan PH.

Presiden PKR itu bagaimanapun tidak menyatakan secara spesifik mengenai kerusi Parlimen yang menjadi perhatiannya, namun kerusi itu mestilah memberi kelebihan tambahan kepada PKR dan PH.

Selain Mohamed Azmin, ahli Parlimen yang keluar PKR dan sertai Bersatu ialah Datuk Zuraida Kamaruddin (Ampang), Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat), Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok), Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau).

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram