DI serata tempat di dunia ini, terdapat pelbagai pesta atau sambutan mengikut adat budaya masyarakat setempat. Salah satu festival unik ialah pesta membaling buah oren.

Selalunya, pesta yang diraikan sebegini mempunyai cerita tersendiri di sebaliknya. Di Eropah, pesta melontar buah-buahan dan sayuran adalah simbolik untuk meraikan sebuah revolusi kemenangan dalam menjatuhkan kerajaan yang kejam.

Salah satunya di Ivrea, Itali, penduduknya mempunyai satu tradisi unik dalam meraikan revolusi yang dilalui mereka.  Sebuah pesta khusus yang dinamakan sebagai peperangan buah oren diraikan masyarakat di sini.

Tidak diketahui secara tepat sejak bila tradisi perang buah oren ini bermula. Namun, sejarahnya ada kaitan dengan penindasan seorang gadis yang mati kerana mempertahankan kesucian perawannya.

Berdasarkan kisah masyarakat tempatan di sini, pesta perang buah oren ini bermula selepas penggulingan keluarga Ranieri yang memerintah kawasan ini.

Keluarga Ranieri adalah pengikut setia Henry V. Di atas kesetiaannya, keluarga ini dilantik menjadi pemerintah di bandar bernama Turin. Bagaimanapun, pemerintahan keluarga Raneiri tidak disenangi masyarakat apabila pewaris keturunan ini mula berlaku kejam dengan memperkenalkan polisi pelik dan aneh.  

Salah satunya ialah dengan memberi kebenaran kepada golongan bangsawan dan pembesar di bandar berkenaan untuk menuntut mana-mana pengantin perempuan yang baru berkahwin supaya bermalam dengan mereka sebagai bayaran cukai.

Tradisi itu bukan saja mengecam kesucian si gadis malah mencemarkan maruah si suami. Mengikut peraturan berkenaan, mana-mana perempuan yang melangsungkan perkahwinan perlulah tidur dengan bangsawan yang menuntutnya sebelum pengantin perempuan itu boleh tidur dengan suaminya.

Menurut beberapa manuskrip lama, tujuan Raneiri memperkenalkan peraturan itu adalah untuk merosakkan baka keturunan masyarakat di situ. Pembesar ini percaya, jika dalam sesebuah keluarga itu anak sulungnya adalah berketurunan pembesar, tentunya pembesar ini dapat mengawal keturunannya supaya tidak memberontak.

Undang-undang pelik itu menaikkan kemarahan penduduk. Oleh sebab mereka tidak berdaya melawan, jadi para wanita melancarkan protes dengan cara menggugurkan kandungan mana-mana pengantin yang hamilkan anak pembesar ini. Ada di antara mereka sanggup mati demi mempertahankan maruah suami mereka.

Menurut beberapa pandangan sejarawan, undang-undang itu berlaku pada kurun ke-13, semasa era pemerintahan Marquis William VII of Montferrat. Akibat daripada peraturan ini jugalah, Marquis ditumbangkan rakyat dalam sebuah revolusi.

Kisah tumbangnya Marquis sebenarnya bermula dengan sebuah kisah tragis seorang gadis sunti bernama Mugnaia. Gadis ini sanggup membunuh diri demi menjaga kesucian perawannya. Lantaran sedih dengan kehilangan gadis ini, para petani, peniaga dan pedagang di bandar ini melancarkan revolusi lalu mengusir Marquis dari bandar Turin.

Sebagai mengenang peristiwa ini, para penduduk meraikankannya dengan pesta perang oren. Sebelum pesta bermula, seorang gadis akan dipilih untuk menjadi Mugnaia. Gadis itu akan diarak sekumpulan lelaki yang berpakaian seperti askar zaman silam di sekeliling bandar.

Selepas itu kumpulan ini akan bertemu dengan kumpulan Aranceri dan peperangan pun bermula. Pesta ini akan berterusan sehingga semua oren yang terdapat dalam tong di habiskan dengan cara membaling sesama sendiri.

Peperangan ini terbahagi kepada dua kumpulan. Satu kumpulan mewakili daun terup bercorak hati berwarna merah dan satu puak lagi hati berwarna hitam.

Pesta ini diadakan setiap tahun, namun ia direhatkan sejak tahun 2021 kerana wabak penyakit. Dikatakan festival perang oren ini akan diadakan kembali pada tahun 2023.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram