Tinjauan harga barangan basah seperti sayur-sayuran dan ayam berikutan kenaikan harga barang di sekitar Kuala Lumpur. GAMBAR: Abd Razak Aid

Tip # 3: Apakah status kewangan kerajaan (status fiskal)? Adakah kerajaan ada keupayaan untuk tingkatkan peruntukan Bajet?

Setiap kali bajet, ramai harap cukai turun, caj dan fi dikecualikan. Semua harap kerajaan beri lebih peruntukan, naik gaji, jalan baharu, lebih lampu jalan, tambah subsidi dan bantuan, perkenal insentif perniagaan, bina hospital baharu, sekolah baharu dan sebagainya.

Seperti kita juga, keupayaan kerajaan berbelanja tertakluk kepada jangkaan pendapatan dan juga keupayaan negara berhutang.

Dalam setiap bajet kerajaan akan umum jangkaan pendapatan (Revenue: R), Perbelanjaan Mengurus (Operating Expenditure: OE), dan Perbelanjaan Pembangunan (Development Expenditure: DE).

OE untuk mengurus perkhidmatan awam seperti bayar gaji kakitangan awam, keperluan bekalan, subsidi dan hutang, sama saja macam kita, berulang setiap tahun.

DE untuk pembangunan, bina sekolah, balai bomba, jalan raya, hospital, stadium, dan lain-lain. Manfaatnya dalam jangka panjang. Contoh mudah, bayar bil eletrik adalah OE, setiap bulan. Beli rumah DE, 20 tahun sekali.

Sebagai contoh untuk tahun 2021, pendapatan kerajaan (R) ialah RM234 bilion, OE ialah RM232 bilion dan DE ialah RM64 bilion. Jumlah perbelanjaan kerajaan (OE + DE) ialah RM296 bilion, lebih besar dari pendapatan. Bererti, tak cukup-defisit, kerajaan perlu berhutang bagi menampung defisit fiskal ini. Defisit fiskal 2021 ialah RM99 bilion, sekitar 6.4% dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Bila defisit, kerajaan perlu berhutang. Hutang kerajaan kini berjumlah RM980 bilion, sekitar 63.4% dari KDNK.

Hampir setiap tahun kerajaan berhutang, tidak salah, asalkan kita mampu membayar dan ia untuk mengukuhkan ekonomi negara. Namun demikian, defisit fiskal yang meningkat di luar kawalan mesti dielakkan.

Secara umumnya, berhutang untuk pembangunan (DE), wajar. Macam kita, berhutang untuk beli rumah. DE bersifat pembangunan yang memberi manfaat jangka panjang.

Yang merisaukan ialah cukupkah pendapatan kerajaan untuk belanja mengurus, OE? Dalam konteks peribadi, cukupkah pendapatan anda untuk makan minum, bayar sewa, bayar bil, bayar hutang?

Sekiranya pendapatan tahunan negara tidak cukup untuk menampung OE, kedudukan fiskal merbahaya. Seola-olah kita perlu berhutang untuk makan, bayar sewa rumah, bil air elektrik dan pengangkutan harian! Begitulah umpamanya.

Pengamatan saya, sejak tahun 2010, beza pendapatan (R) dan keperluan belanja mengurus (OE), dikenali sebagai ‘baki semasa’ semakin mengecil. Tahun 2021 pendapatan (R) hampir menyamai OE, cukup-cukup sahaja. Jelas OE kita meningkat dengan sangat ketara! Mesti dikaji dengan rapi kecekapan perbelanjaan mengurus. Peningkatan pendapatan tidak dapat disalurkan untuk pembangunan. Untuk DE (garis biru), jumlahnya hampir sekata dan kini hampir semuanya dibiayai dengan hutang. Malaysia berhadapan dengan kekangan fiskal. Tidak wajar berhutang untuk belanja mengurus. Mesti berhati-hati.

Kalau ada kejutan di luar jangka, seperti pandemik Covid-19 yang lalu, susah kita. Kedudukan kewangan kerajaan perlu dipulihkan. Berbelanja dengan cekap, elak pembaziran dan pastikan hutang tidak di luar kawalan.

Salah untuk terus menyimpul peruntukan bajet lebih besar sebagai sesuatu yang hebat atau ‘baik’. Peruntukan bajet mesti diselaraskan dengan kemampanan fiskal. Jangan beriya berbelanja hari ini tetapi susah kemudian. Kita semua mesti faham.

MINDA UKM: Umumkan langkah dan sasaran pengukuhan status fiskal. Baik untuk Malaysia.

Tip # 4: Apa sumber pendapatan kerajaan? Kita semua mahukan perkhidmatan dan infra awam lebih baik. Kutipan cukai cukup untuk penuhi harapan kita?

‘Apa susah, kan kerajaan boleh cetak wang, cetak la banyak-banyak bagi pada rakyat, semua senang’! Ini 100% salah. Kalau betullah begini, satu dunia tiada orang susah

Kerajaan macam kita ada ‘pendapatan’ dan ada ‘perbelanjaan’. Setiap kita pengguna. Saya ada pendapatan. Saya beli kereta, kereta milik saya, saya guna. Kalau rosak saya perbaiki.

Kereta perlukan jalan raya. Tak ada orang ‘beli’ jalan raya? Tak ada orang memiliki jalan raya? Siapa guna jalan raya? Siapa rosakkan jalan raya? Semua kita, tapi susah nak tentukan secara khusus. Siapa baiki jalan raya? Jalanraya infra awam-milik semua-semua guna-kerajaan bina dan selenggara. Kosnya siapa tanggung?

Benar, pendapatan kerajaan datang dari duit kita, kerajaan kenakan cukai jalan, dan pelbagai jenis cukai lain dan caj-caj tertentu (lesen dan permit) untuk membiayai kos menyediakan perkhidmatan dan infra awam.

Ada juga perkhidmatan dan infra percuma atau dikenakan bayaran yang rendah dari kos sebenar (melalui subsidi). Kita tak bayar secara langsung macam cukai jalan-lampu jalan, kesiapsediaan tentera, polis dan bomba, taman permainan dan rekreasi, infra pendidikan dan kesihatan, terlalu banyak untuk disenarai.

Umumnya, pendapatan kerajaan datang melalui pungutan cukai dan pengenaan caj dan fi. Ini ‘ekonomi barangan dan perkhidmatan awam’-bila penentuan pemilik dan pengguna tidak mudah-milik semua-semua guna-kerajaan lah yang bertanggungjawab. Bila sifatnya ‘awam’, kita semua bayar cukai, masuk ‘tabung kerajaan’ dan kerajaan bertanggungjawab merancang, membina dan menyelenggara.

Musim bajet biasanya semua ‘meminta’ dan tak ramai yang cenderung nak tahu dari mana kerajaan dapat duit. Macam anak-anak, minta sahaja, ayah dapat dari mana? Itu hal ayah.

Sumber pendapatan utama kerajaan adalah cukai. Sebagai contoh, tahun 2019, jumlah kutipan cukai kerajaan ialah RM181 bil, 68% dari hasil kerajaan (RM264 bil). Antara komposisi utama ialah: Cukai Langsung (cukai korporat, cukai individu, cukai petroleum) dan Cukai Tidak Langsung (cukai jualan dan perkhidmatan (SST), cukai eksais, duti import dan eksport).

Pendapatan kerajaan umumnya meningkat sejak 20 tahun yang lalu (2001 ke 2021) dari RM80 bil ke RM234 bil. Sama juga kutipan cukai dari RM 61 bil ke RM174 bil. Tetapi secara relatif kepada saiz ekonomi (KDNK), peratusnya semakin menurun!

Pada tahun 2001, hasil kerajaan dan kutipan cukai adalah 22.6% dan 17.4% dari KDNK. Kini ianya hanya 15.1% dan 11.2%! Kadar cukai (% KDNK) bagi negara-negara maju OECD ialah sekitar 33.5%. Ekonomi semakin besar, dan harapan rakyat semakin tinggi, tetapi peratus sumbangan kepada pendapatan kerajaan semakin menurun! Macam tak betul ni. Ini petanda penting, sistem dan kaedah pungutan cukai perlu dinilai semula.

Berapa ramai yang membayar cukai? Sebagai contoh, pada tahun 2016, hanya 2.3 juta individu membayar cukai pendapatan, 16% dari jumlah pekerja (14.6 juta) Malaysia. Ertinya sumbangan dari 2.3 juta orang membiayai keperluan 32 juta rakyat yang ‘mengguna’ perkhidmatan awam. Adil?

Mungkinkah GST yang bersandarkan perbelanjaan (bukan pengisytiharan pendapatan) boleh memberi cakupan yang lebih besar dan wajar? Wajar GST diperkenalkan semula, dengan kemasan sistem dan perubahan kadar?

Kaedah dan sistem percukaian mesti bersesuaian dengan tahap pembangunan dan harapan rakyat terhadap kerajaan. Sebagai rakyat kita sentiasa mengharapkan perkhidmatan dan infra awam yang lebih baik.

Betul, ada yang hanya boleh ditingkatkan kecekapan (dan lebih mesra pelanggan) tanpa kos, tetapi umumnya banyak yang libatkan kos. Pendapatan kerajaan mesti lebih baik.

Anda rasa sistem percukaian Malaysia sekarang adil dan sesuai? Kita sama-sama jawab.

MINDA UKM: Jangan keliru dengan tawaran ‘percuma’. Hanya ada dua pilihan: Saya bayar bila saya guna atau kita bayar bila kita semua guna. Sama-sama pikul. Itu sahaja. There’s nothing ‘free’.

PENULIS adalah Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif (MINDA-UKM). Beliau kini merupakan Sarjana Fulbright di Kennedy School, Harvard University, Amerika Syarikat