SEORANG maut manakala dua lagi lelaki warga Afrika cedera parah selepas bergaduh sesama sendiri berhampiran sebuah pusat hiburan dekat Jalan Tun Razak, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima maklumat daripada anggota polis Pudu memaklumkan terdapat tiga orang mangsa berada di wad kecemasan sebuah hospital swasta pada pukul 5.35 pagi.
Beliau berkata, salah seorang mangsa telah meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
“Siasatan mendapati mangsa dan rakannya telah bergaduh dan mengakibatkan mangsa cedera parah akibat ditetak di belakang leher,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, pihaknya telah menahan enam lelaki dan dua wanita bagi siasatan lanjut.
Baca artikel berkaitan : Lelaki Nepal cedera ringan dirempuh Wira ketika lintas jalan
Katanya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau balai polis berhampiran.

