universiti
Gambar hiasan

KEPUTUSAN permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi sesi akademik 2022/2023 diumumkan oleh Unit Pusat Universiti (UPU) baru-baru ini. Seperti biasa, akan kedengaran keluh kesah dan luahan rasa tidak puas hati pelajar yang gagal mendapat tempat atau kursus pilihan.

Inilah fenomena yang berlaku setiap tahun setiap. Ada sahaja kisah pelajar cemerlang tercicir atau ditawarkan kursus berlainan daripada pilihan pertama yang disenaraikan dalam permohonan.

Tahun ini dilaporkan ada pelajar yang memperoleh kejayaan cemerlang empat mata Purata Himpunan Gred atau Grade Point Average (GPA), atau hampir kepada purata mata tersebut, dalam peperiksaaan Sijil Tinggi Persekolahan (STPM) gagal mendapat tempat.

Ada yang langsung tidak mendapat tawaran. Ada yang ditawar kursus senarai paling bawah, atau pilihan terakhir daripada senarai pilihan. Senarai bawah ini biasanya diisi oleh calon sekadar memenuhi keperluan UPU kerana harapan adalah untuk mendapat pilihan pertama.

Setengah pihak beranggapan pemberian kursus sedemikian sebagai ‘kursus lelong’ atau main tangkap, atau asal ada setelah tidak mendapat pilihan pertama atau kedua.

Pilihan pada calon ialah sama ada menerima atau menolak tawaran, atau membuat rayuan. Biasanya pihak UPU akan mencatatkan penawaran kursus dan tempat pengajian adalah muktamad. Numun ia masih terbuka untuk rayuan.

Dalam memilih kursus dan ITPA, calon perlu memilih berdasar kelayakan. Jangan cuba memohon ke IPTA tertentu jika tidak memenuhi syarat. Perlu diingat, ada IPTA yang meletakkan syarat tinggi bagi kursus tertentu sehingga empat mata flat GPA. Ada yang sedikit rendah bagi kursus sama.

Justeru dalam membuat pilihan kursus, calon sering dinasihat memilih dengan bijak. Begitu juga tidak dinasihat memilih IPTA yang terlalu kompetitif kerana itu akan mengurangkan peluang mereka terpilih ekoran persaingan sengit, atau GPA calon lain lebih tinggi.

Baca artikel berkaitan: Antara lambaian Monsun Timur Laut dan PRU-15

Kursus-kursus popular seperti perubatan, pergigian, farmasi atau kejuruteraan memang selalu menjadi rebutan pelajar. Lantaran itu hanya yang benar-benar terbaik dalam terbaik atau ‘cream of the cream’ berpeluang mendapat tempat.

Ambil contoh perubatan. Beberapa IPTA menawarkan kursus tersebut, misalnya Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM). Namun peluang untuk mendapat tempat adalah terbatas.

Berbalik kepada kemasukan ke IPTA. Bagaimana pemilihan dibuat sehingga ada pelajar cemerlang layak diterima, tetapi ada juga sekelompok pelajar cemerlang tidak diterima, hanya UPU sahaja boleh menjelaskan bagaimana proses pemilihan dibuat.

Namun realitinya, faktor tempat terhad dan persaingan sengit adalah antara sebab calon tidak mendapat apa yang diingini. Calon mungkin ditawarkan pilihan kedua, ketiga dan seterusnya. Namun ini juga tidak pasti. Akhirnya ada calon langsung tidak mendapat tempat atau mendapat kursus lelong.

Memanglah seorang calon berharap mendapat apa yang dikehendaki. Malangnya UPU tidak dapat memenuhi pilihan berdasar kehendak semua pemohon. Faktor ‘permintaan’ jauh mengatasi ‘bekalan’ (tempat belajar) menjadi penghalang. Jadi bagaimana hendak dipuaskan hati semua orang?

Pelajar sebagai individu mungkin merasakan dia memiliki kelayakan. Tetapi di peringkat UPU, mereka terpaksa memikirkan nasib ribuan yang memohon. Dalam proses ini ada yang lepas, ada yang cicir.

Penulis difahamkan, mengisi pilihan kursus dari yang pertama hingga ke akhir, juga perlu bijak. Ada calon yang konsisten memilih hanya satu IPTA tetapi berlainan kursus. Kerana itu dikatakan lebih mudah bagi calon tersebut memperoleh pilihan menurut urutan andai gagal mendapat pilihan pertama.

Namun ada juga pelajar yang menyenaraikan kursus berlainan daripada IPTA berlainan. Calon yang membuat pilihan begini lebih sukar mendapat tempat jika pilihan pertama gagal.

Contoh, calon A memilih kursus perigigian di USM sebagai pilihan pertama, dan farmasi sebagai pilihan kedua di UiTM. Jika calon B memilih kursus farmasi sebagai pilihan pertama di UiTM, kebarangkalian paling tinggi ialah calon B akan diberi pertimbangan lebih oleh UPU dan mendapat tempat kerana itu adalah pilihan pertamanya. Begitulah seterusnya.

Kerana itu dalam membuat pilihan kursus dan IPTA, perlu teliti, bukan kerana rasa boleh cuba atau mengambil kira pandangan orang lain yang kurang arif. Seeloknya tanyalah guru atau pensyarah mengenai kursus dan IPTA yang sesuai dengan kelayakan.

Bagitu pun penulis suka beranggapan bahawa pelajar cemerlang yang tercicir daripada mendapat tempat di IPTA bukan kerana pilih kasih atau ada agenda tertentu. Mungkin ini disebabkan oleh sistem pemilihan yang ada sekarang. Pada masa depan UPU harus menambah baik kaedah pemilihan dan mengatasi kelemahan jika ada.

Apabila pelajar ini mengemukakan rayuan, UPU wajar memberi pertimbangan serius memberi mereka tempat di menara gading. Jika tidak dapat kursus pilihan pertama, tawarkan kursus yang sejajar dengan kecemerlangan akademik mereka, bukan kursus lelong.

* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram