DI negeri bawah bayu di daerah Lahad Datu, kononnya ada sebuah pulau yang didiami golongan nelayan dan petani. Golongan petani berhuma dan bercucuk tanam di lereng-lereng bukit. Antara tanaman paling banyak dihasilkan ialah limau purut.

Pulau itu diperintah oleh seorang raja berasal dari Tanah Jawa. Namanya, Raja Wawigan Anum. Walaupun sudah berumur, namun raja ini masih belum beristeri.

Suatu hari, Raja Wawigan pergi melawat kebun limau purut kepunyaannya. Sewaktu berjalan-jalan di dalam kebunnya itu, dia terkejut melihat kehadiran seorang gadis yang sangat cantik, sedang memakan buah limau purut yang masak ranum.

“Siapa gadis itu?” tanya Raja Wawigan Anum kepada penjaga kebun. Namun, tiada siapa yang mengenali gadis cantik itu.

Raja Wawigan terpukau dengan gadis itu lalu mendekatinya, namun gadis itu melarikan diri. Maka, diarahkan para pengiringnyanya untuk mengejar dan menangkap gadis itu.

Setelah ditangkap, gadis itu merayu minta dilepaskan. Daripada situ barulah Raja Wawigan tahu siapa gadis cantik itu.

Gadis itu sebenarnya seorang puteri raja bernama Puteri Saripu yang berasal dari kayangan. Jatuh hati dengan puteri itu, Raja Wawigan terus menyatakan hasrat hatinya mahu menjadikan Puteri Saripu sebagai permaisurinya si pulau itu.

Puteri Saripu bersetuju dengan permintaan Raja Wawingan. Namun, dia menetapkan satu syarat.

“Syaratnya, tuanku tidak boleh menyakiti hati beta. Tuanku boleh menegur jika beta melakukan kesalahan. Tetapi jangan sekali-kali mengeluarkan kata-kata kesat dan kasar atau maki keji di hadapan beta. Apatah lagi bersikap kasar dan bengis. Itulah syarat beta,” kata Puteri Saripu.

Raja Wawigan setuju dengan syarat itu. Baginya, tidak mungkin dia akan mengasari puteri yang telah berjaya mencuri hatinya itu.

Beberapa bulan kemudian, berlangsunglah perkahwinan mereka. Selama tujuh hari tujuh malam majlis keramaian diadakan. Dengan restu dari kayangan, Puteri Saripu pun menetap di bumi.

Hidup mereka bahagia. Sampai masa, Puteri Saripu melahirkan seorang putera dinamakan Putera Wulan Gandin yang ditatang bagai minyak yang penuh. Dibesarkan penuh manja, Putera Wulan membesar menjadi seorang yang nakal dan sukar mendengar kata, malah kerap melanggar peraturan istana.

Suatu hari, sewaktu Raja Wawigan sedang minum petang, baginda melihat puteranya sedang bermain guli emas. Ketika itu, guli yang dimainkan Putera Wulan terpelanting lalu terkena Raja Wawigan yang menjerit kesakitan.

Kejadian itu membuat Raja Wawigan murka. Dipanggil puteranya itu lalu dimarahi dengan kata-kata kesat. Malah, baginda turut melepaskan kemarahannya kepada permaisurinya.

Puteri Saripu terkejut dan terasa hati dengan kata-kata suaminya itu. Merasakan Raja Wawigan telah melanggar syarat yang diberinya dahulu, Puteri Saripu terus membawa puteranya keluar dari istana dan terbang pulang ke kayangan.

Pada mulanya, Raja Wawigan tidak sedar kehilangan isteri dan anaknya. Setelah kemurkaannya reda, barulah dia menyesal dan tahu isterinya telah terbang pulang ke kayangan bersama putera mereka.

Untuk naik ke kayangan dan memujuk isterinya, Raja Wawigan cuba membuat sayap daripada bulu burung dan cuba terbang dari puncak Gunung Kinabalu, tetapi baginda jatuh tergolek hingga terhempap ke perdu pokok limau purut.

Ketika itu, datang burung garuda yang bulunya daripada gangsa dengan kilauannya yang menyambar mata. Burung itu meminta tolong sebelum jatuh berdekatan Rawa Wawigan. Baginda kemudian merawat burung garuda itu yang cedera sayapnya dan matanya tertusuk sebutir guli emas.

“Hamba ingin membalas jasa Tuanku. Hamba boleh membantu Tuanku berjumpa dengan Puteri Saripu,” kata burung garuda itu setelah sembuh.

Burung itu juga memberitahu, Rawa Wawigan boleh menggunakan guli emas yang dikeluarkan daripada matanya sebagai ‘tiket’ untuk memasuki istana kayangan.

Lalu, burung garuda membawa Raja Wawigan terbang ke istana kayangan. Baginda melakukan seperti yang diajar burung itu, tetapi pengawal tidak menerimanya.

“Tuanku mesti mengisikan bakul dengan air sebagai syarat masuk ke dalam istana,” kata pengawal.

Bakul itu pula berlubang-lubang. Adalah mustahil mengisikannya dengan air. Namun, burung garuda tetap membantu lalu mengganggil sahabatnya dari kaum belut.

Setelah belut-belut itu berkumpul, ia mengeluarkan lendir lalu disapukan pada permukaan bakul itu, Maka tertutuplah lubang-lubang itu. Maka dengan mudah Raja Wawigan mengisi air dan membawanya ke dalam istana.

Oleh kerana terlalu letih, Raja Wawigan berehat pada sebatang pohon rendang di situ, manakala garuda mengepakkan sayapnya setelah hinggap pada dahan pokok itu. Buah yang gugur bergolek-golek ke tanah hampir dengan baginda rupanya adalah buah limau purut.

Raja Wawigan menoleh ke belakang dan alangkah gembiranya bila melihat Puteri Saripu dan puteranya sedang memakan limau purut. Baginda terus memeluk mereka, dan meminta maaf kerana telah berkasar dan menyinggung hati isterinya itu.

“Kerana terlalu rindu akan kekanda, Wulan selalu membawa adinda ke pokok limau purut ini. Inilah satu-satunya pohon limau purut di kayangan,” kata Puteri Saripu.

Akhirnya, mereka berbaik semula. Dengan bantuan burung garuda, mereka turun semula ke bumi. Raja Wawigan dan Puteri Saripu hidup bahagia sepanjang hayat mereka.

Sebagai tanda penghargaan kepada garuda, sebuah istana dihadiahkan kepadanya, sehingga di akhir hayatnya maka ditanam pada sebuah pulau yang diberi nama Pulau Gangsa.  

**Kisah di atas dipetik dari buku ‘101 Puteri Dunia Melayu – Sejarah dan Legenda’ terbitan Jabatan Muzium dan Antikuiti.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com