FILEM Remp-it pernah mencetuskan fenomena tersendiri pada 2006. Kini, setelah 16 tahun ia kembali dengan nafas dan aksi terbaru melalui Remp-it 2.
Dunia permotoran sendiri telah melalui satu perubahan yang agak ketara sepanjang tempoh tersebut seiring berlakunya perubahan dalam dunia penerbitan filem dan selera penonton.
Menyedari perkara itu, FKX Film tampil dengan filem sulungnya yang mengetengahkan aksi dan jalan cerita yang lebih matang dalam Remp-it 2.

Filem yang menjalani penggambaran pada hujung 2019 ini terpaksa menunggu lebih lama untuk menemui penonton disebabkan pendamik Covid-19 yang melanda dunia.
Selaku penerbit dan pengarah, Farid Kamil telah lama menanam cita-cita mahu mengeluarkan filem Remp-it 2 di bawah syarikat miliknya, FKX Film.

Ujar Farid lagi, dia berpendapat jika kisah mengenai permotoran masih lagi relevan dan mempunyau penonton serta pengikut yang tersendiri.
“Saya ambil masa 16 tahun untuk sekuel ini kerana saya mahu mengumpul modal terlebih dahulu.
“Lagipun dalam filem ini, saya bukan sahaja bertindak sebagai pelakon tetapi turut menjadi pengarah dan penerbit di bawah syarikat saya sendiri.
“Penggambaran bermula pada 2019 dan berlangsung selama 55 hari di sekitar Johor Bahru, Pahang, Terengganu, Melaka dan Kuala Lumpur. Apa yang menariknya, kami dapat kebenaran untuk menjalankan penggambaran di terowong Karak,” katanya kepada URTV.

Tambah Farid lagi, dia cuba menampilkan penampilan untuk filem tersebut selain tidak meletakkan sasaran hanya golongan ‘mat rempit’ sahaja boleh menonton.
“Ini kali pertama sebuah filem tempatan yang dapat memasukkan adegan-adegan seperti perlumbaan Asian Racing. Malah, penggambaran filem ini juga dapat dibuat semasa hari perlumbaan sebenar berlangsung seperti di Asian Racing (Litar Sepang) & Cub Prix Malaysia (Terengganu).
“Selain itu, kami gunakan lebih 1,000 biji motor untuk penggambaran termasuk pelakon utama dan tambahan.
“Apa yang ingin saya tekankan, untuk jalan cerita Remp-it 2 ini ia sememangnya sesuai untuk ditonton oleh seisi keluarga, kanak-kanak, remaja dan pengikut filem Rempit yang pertama. Selepas filem pertama, ramai yang tertanya-tanya adakah Madi mati? Jadi di dalam Remp-it 2 ini adalah jawapannya,” kongsinya.

Remp-it 2 merupakan sambungan daripada Remp-it (2006) namun, dengan kecanggihan teknologi penggambaran sekarang, semua aksi perlumbaan berlaku di siang hari.
Penonton dapat menyaksikan aksi perlumbaan tersebut dengan lebih jelas. Remp-it 2 juga mengetengahkan pelbagai jenis motosikal dari pelbagai kategori termasuk motosikal biasa seperti Y15, RS, RXZ, 12Z, motorcross, cub prix sehinggalah ke superbike.
Bercakap soal cabaran, Farid akui berdepan dengan banyak kekangan terutama apabila melibatkan masa.

“Cabaran utama sebagai pengarah adalah kekangan masa kerana walaupun dilakukan selama 55 hari, ia memberikan cabaran kepada saya sebagai pengarah dan pelakon tetap ada kerana ia bukan sesuatu yang mudah seorang pelakon asal membuat skrip filem seterusnya 16 tahun menjadi penerbit.
“Tambahan pula semua sedia maklum masalah menimpa ke atas saya ketika peluang untuk mengarah itu datang. Selain itu, cabaran yang dihadapi adalah penggambaran untuk babak perlumbaan banyak dilakukan pada waktu siang berbanding filem pertama yang banyak sebelah malam.
“Pastinya harapan saya agar lebih ramai penonton pergi menonton filem ini di pawagam kerana ia sangat dekat dengan golongan pencinta motosikal.
“Kepada peminat dunia permotoran, dalam filem ini kami ada paparkan semua jenis motosikal, daripada motosikal kapcai sehinggalah ke superbike serta offroad. Saya percaya filem ini juga mampu memberi kepuasan kepada semua penonton.
ujarnya.

Elemen motosikal digerakkan oleh elemen-elemen persahabatan dan kekeluargaan membuatkan Remp-it 2 sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat.
FKX Film menunjukan filem ini kepada legenda-legenda sukan permotoran Malaysia yang telah banyak mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
Perjuangan mereka tanpa mengenal erti jemu dan sehingga sampai mempertaruhkan keselamatan dan nyawa mereka sendiri.
Seperti pejuang tanahair yang lain, mereka juga perlu diraikan dan kisah hidup mereka juga perlu difilemkan.

Remp-it 2 merupakan salah satu usaha dari penerbit dalam jangka masa panjang boleh melahirkan pelumba-pelumba yang mampu mengharumkan lagi nama negara di dalam arena permotoran.
Selain Farid yang bertindak sebagai pelakon utama, filem ini turut dibintangi oleh Cat Farish, Julia Hana, Izzue Islam, Niezam Zaidi, Farez Ridzwan, Shiha Zikir, Chiwan Chilok, Mamak Puteh, Rudy GTB, Gabit Saleh, Shahkimin serta penampilan sulung anak Farid, Muhammad Kamil atau Che Mad yang telah memberi mutu lakonan yang meyakinkan pada usia 7 tahun.
Penggambaran yang dilakukan selama 55 hari di lokasi-lokasi yang dipilih sesuai dengan jalan cerita termasuk Ulu Choh Johor, Melaka, Gong Badak Terengganu, Sungai Lembing Pahang, serta sekitar Lembah Klang termasuk Litar Antarabangsa Sepang.
Kepada semua peminat dunia permotoran, nantikan Remp-it 2 di pawagam 24 November ini.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

