Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. GAMBAR: Abd Razak Aid

UMNO tidak pernah memadamkan agenda penyatuan ummah termasuk dalam hubungan politiknya dengan Pas yang menjadi asas kestabilan politik tanah air.

Atas dasar itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu sejak daripada awal sentiasa menekankan soal keikhlasan dan kejujuran dalam apa juga bentuk permuafakatan.

Namun begitu, beliau menegaskan, UMNO tidak sesekali dapat menerima pihak yang berterusan melakukan pengkhianatan serta mengambil sikap menjadikan Barisan Nasional (BN) sebagai musuh utama mereka.

“Justeru, sebarang usaha memulihkan Muafakat Nasional (MN) atau apa juga bentuk permuafakatan dan kerjasama mestilah kembali berpandukan kepada prinsip serta semangat piagam asal sebagaimana yang pernah dimeterai dan disepakati.

“Sehubungan dengan ini juga, apa juga aspek yang bersangkutan dengan isu ini haruslah dirujuk kepada kenyataan yang keluar melalui saluran rasmi saya mahu pun parti,” katanya dalam kenyataan.

Baca artikel berkaitan: UMNO kembali runding dengan Pas jika penuhi tiga syarat

Ahmad Zahid dalam kenyataan sama turut mengesahkan spekulasi pertemuan dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, baru-baru ini.

Menurut beliau, pertemuan itu diadakan di kediamannya pada 17 September lalu.

Jelas Ahmad Zahid, pertemuan empat mata tersebut berlangsung dengan penuh harmoni berteraskan semangat mahabbah dan ukhuwah persaudaraan Islam.

Beliau turut memaklumkan banyak perkara telah dibincangkan termasuk mengenai agenda penyatuan ummah yang pernah digerakkan bersama sebelum ini.

“Semangat kerjasama politik atau taawun siyasi antara UMNO-Pas pada waktu itu berpaksikan kepada keinsafan betapa perlunya dua parti induk bumiputera Melayu-Islan terlebih dahulu diperkasakan bagi memungkinkan terlaksananya penyatuan ummah dalam erti kata sebenar.

“Penyatuan yang berteraskan keindukan bumiputera Melayu Islam ini adalah kunci keharmonian dalam kemajmukan Malaysia yang berbilang kaum,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram