JIKA anda menonton filem Terminator lakonan Arnold Schwarzenegger, dapat dilihat dalam filem itu watak-watak robotnya daripada sejenis logam yang mencair dan kemudian mengeras semula membentuk susuk tubuh manusia.

Tahukah anda, logam unik seperti itu bukan sekadar cerita rekaan tetapi sebenarnya memang wujud di dunia nyata.

Watak robot dalam filem Terminator yang terhasil daripada logam cair.

Logam cair itu dipanggil galium. Berwarna perak dan bersifat padat. Mudah melebur pada suhu rendah, tapi lambat cair di atas suhu bilik. Takat leburnya yang begitu unik membolehkan ia mudah cair di tangan apabila dipegang hinggakan anda boleh membentuknya berupa sesuatu yang dikehendaki. Lebih kurang sama sifatnya jika bermain dengan tanah liat.

Di sebalik sifatnya yang lembut dan senang cair, galium sebenarnya bukanlah logam yang lemah. Pelbagai rakaman video yang dibuat bagi melihat reaksi galium terhadap bahan di sekitarnya menunjukkan, ia mampu menyerang logam lain seperti aluminium. Menerusi eksperimen itu, struktur permukaan tin air minuman ringan menjadi lemah dan berlubang selepas terkena hanya setitis galium cair.

Dalam satu uji kaji yang pernah dijalankan, turut memperlihatkan beberapa sifat istimewa galium. Antaranya, ia mampu bergerak atau bereaksi seperti degupan jantung.

Hal menakjubkan ini tidak pernah diketahui sehinggalah ia direndam ke dalam larutan asid sulfat dan dikromat. Larutan tersebut telah meningkatkan tekanan permukaan galium hingga menyebabkan logam itu terlihat bergerak-gerak seperti denyutan jantung.

Daripada eksperimen seumpama itu, barulah diketahui galium rupanya mampu mengembang sebanyak 3.1 peratus daripada posisi asalnya. Oleh sebab itu, bahan ini tidak boleh disimpan dalam bekas kaca atau logam kerana tempat penyimpanan boleh pecah dan rosak apabila ia membeku.

Galium.

Dalam gurauan klasik, ahli-ahli sains gemar berlawak jenaka dengan membentuk logam cair menjadi sudu, lalu diletakkan dalam cawan berisi air teh. Apabila tetamu hendak minum, mereka akan terkejut melihat sudu telah cair dalam teh panas.

Kewujudan logam istimewa ini mula diramalkan oleh seorang ahli kimia Rusia, Dmitri Mendelleev pada tahun 1871. Beliau menamakan logam berkenaan sebagai ‘eka aluminium’.

Walaupun ketika itu ia masih belum ditemui, Mendelleev sudah meramalkan beberapa sifat utama logam seperti kadar ketumpatan dan takat lebur. Ternyata, telahan beliau tepat. Walaupun hanya bermula dengan ramalan, siapa sangka logam ini benar-benar wujud.

Empat tahun selepas telahan itu, seorang ahli kimia Perancis, Paul Emile Lecoq de Boisbaudran telah berjaya menemuinya pada tahun 1875 secara spektroskopi – kajian tentang spektrum, terutamanya aspek penghasilan, penyukatan dan pentafsiran spektrum. Beliau kemudian menamakan penemuannya itu seperti mana gelaran sekarang ini.

Asal usul nama galium diambil daripada perkataan ‘gallia’ daripada bahasa Perancis dan ‘gallus’ dalam bahasa Latin.

Galium memiliki unsur logam bersimbol ‘Ga’. Ia sering ditemui daripada ekstrak arang batu, bauksit atau biji zink. Analisa terhadap debu yang terhasil daripada pembakaran arang batu telah menemukan kandungan galium sebanyak 1.5 peratus. Sementara United States Geological Survey (USGS) menganggarkan rizab logam ini melebihi satu juta tan metrik dalam bauksit dan biji zink.

Jangan terkejut jika dikatakan unsur pelik ini turut ditemui dalam tubuh manusia. Sebagai contoh, orang dewasa yang memiliki berat 70 kilogram mengandungi 0.7 miligram galium dalam tubuh mereka. Namun begitu, ia merupakan jumlah yang sangat kecil.

Persoalan bagaimana logam berkenaan boleh berada dalam tubuh manusia masih belum diketahui secara tepat. Para ilmuwan cuma meletakkan kemungkinan besar ia hadir melalui lingkungan persekitaran, dalam air, sayur-sayuran dan buah-buahan yang kita makan.   

Pada tahun 1986, pengeluaran logam ini dianggarkan sekitar 2,000 kg. Pengeluarannya mengalami peningkatan pada tahun 2007 iaitu sebanyak 9,200 kg. Daripada jumlah itu, sebanyak 5,000 kg diperoleh daripada perlombongan dan selebihnya dari kitar semula. Pada tahun 2011 pula, pengeluaran galium dunia terus meningkat sebanyak 10,800 kg.

Hasil perolehan ini biasanya akan digunakan sebagai semikonduktor. Galium juga boleh digunakan untuk membuat termometer suhu tinggi.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com