
KERAJAAN perlu menggariskan hala tuju dan objektif yang jelas bagi membantu golongan bumiputera dalam Bajet 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Azril Mohd. Amin berkata, hala tuju yang jelas diperlukan bagi membantu rakyat terutama yang tergolong di bawah isi rumah berpendapatan pertengahan.
Sehingga kini, kata beliau, masih belum wujud sebarang pelan strategik berdasarkan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung Pelan Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030).
Menurut Azril, pelaksanaan tindakan susulan TPB2030 perlu dimaklumkan kepada umum bagi memastikan ketelusan dan keterangkuman.

Jelasnya, pelaksanaan pelan tindakan tersebut hendaklah berasaskan keperluan dengan tumpuan untuk membangunkan bumiputera B40 membina daya tahan terhadap sebarang cabaran ekonomi yang mendatang.
“Pada peringkat mikro, kerajaan harus mengutamakan asas modal yang diperlukan oleh usahawan untuk menaiktaraf perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri kurang membangun.
“Ini boleh dilakukan menerusi beberapa langkah dan insentif melalui pemindahan tunai langsung kepada pengusaha perniagaan.
“Langkah ini akan menambahbaik ekosistem perniagaan dan menyediakan akses kepada pasaran negara bagi mewujudkan penawaran pekerjaan bergaji tinggi serta meneroka konsep wakaf bagi mempelbagai sumber kewangan untuk membiayai perniagaan dan meningkatkan ekuiti bumiputera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Bajet 2023 bentang atau tidak, tunggu esok – PM
Mengulas lanjut, Azril menegaskan pihaknya turut menggesa kerajaan untuk membangunkan ekonomi bernilai tinggi bagi menyelesaikan isu ketidaksamaan ekonomi antara kaum.
Beliau berkata, impak pandemik COVID-19 terhadap pendapatan isi rumah telah menjejaskan struktur, meningkatkan kadar kemiskinan dan meluaskan jurang ketidaksamaan.
Katanya, majoriti pendapatan isi rumah mengalami kemorosotan dengan kebanyakan yang berada dalam kumpulan isi rumah berpendapatan tinggi telah beralih ke kumpulan isi rumah berpendapatan rendah.
“Tidak dinafikan kumpulan B40 terutama golongan miskin dan rentan yang merupakan golongan paling terjejas.
“20 peratus isi rumah M40 berpendapatan antara RM4,850 hingga RM10,959 telah jatuh kepada kumpulan B40.
“Isu ini penting untuk diambil perhatian kerana kumpulan bumiputera merupakan kelompok besar daripada kumpulan B40,” jelas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

