Kenderaan yang membawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob keluar jam 4.44 petang selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hanya mengambil masa kira-kira 45 minit menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Perdana Menteri yang menaiki kenderaan Toyota Alphard berwarna putih dilihat keluar dari pintu utama Istana Negara kira-kira pukul 4.45 petang tadi.

Beliau sekali lagi sempat menurunkan tingkap kereta dan melambai kepada petugas media di luar perkarangan Istana Negara.

Ismail Sabri sebelum itu tiba di Istana Negara pada pukul 3.48 petang tadi.

Perdana Menteri dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada pukul 4 petang bagi membuat sembah taklimat berhubung Bajet 2023 yang dijangka dibentang petang esok.

Majlis menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara itu adalah rutin biasa untuk Perdana Menteri sebelum mempengerusikan mesyuarat Kabinet.

Bagaimanapun, sesi menghadap kali ini mendapat perhatian meluas berikutan spekulasi bahawa Perdana Menteri akan memohon pembubaran Parlimen untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ia susulan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Jumaat lalu yang memutuskan supaya PRU-15 diadakan pada tahun ini.

Namun, belum dapat dipastikan sama ada Perdana Menteri ada membincangkan tentang pembubaran Parlimen semasa sesi menghadap berkenaan.

Kenderaan yang membawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob keluar jam 4.44 petang selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Baca artikel berkaitan: Perdana Menteri tiba di Istana Negara menghadap Agong

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat ke sesi sembah taklimat persiapan menghadapi bencana dan banjir di Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara, Jabatan Pengairan dan Saliran di Ampang, hari ini.

Perdana Menteri semasa ditemui media selepas meninjau persiapan Bajet 2023 di Kementerian Kewangan tengah hari tadi pula memaklumkan ‘agenda tambahan’ berkaitan pembubaran Parlimen mungkin dibincangkan dalam sesi menghadap hari ini jika berkesempatan.

Menurut Perdana Menteri, perbincangan itu mungkin mengambil masa yang panjang memandangkan banyak perkara yang akan diterangkan selain beliau menerima pesanan daripada Seri Paduka.

Ismail Sabri yang ditanya sama ada tarikh pembubaran Parlimen akan dibawa pada majlis menghadap hari ini berkata: “Tak pasti lagi nak bawa atau tak. Kalau bincang hal Kabinet panjang sangat, pasal Kabinet sahaja.”

Ditanya lagi sama ada terdapat agenda “tambahan atau khusus” semasa menghadap Agong, Ismail Sabri berkata: “Kita tengok, kalau bincang sampai Maghrib tak sempat nak bincang hal lain”.

Sebelum ini, Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Radzi Jidin mengesahkan 12 menteri Perikatan Nasional (PN) telah mengutuskan surat kepada Al-Sultan Abdullah untuk menyatakan hasrat tidak mahu PRU-15 diadakan tahun ini.

Radzi menegaskan, menteri daripada PN berpendirian kebajikan rakyat merupakan perkara penting yang perlu diberikan tumpuan ketika ini, bukannya soal PRU-15.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram