LAZIMNYA, perkhidmatan pos digunakan untuk menghantar surat dan barangan. Namun, tahukah anda sewaktu peringkat awal khidmat pos diperkenalkan, pernah wujud penghantaran kanak-kanak.

Ketika itu, menjadi kebiasaan untuk golongan ibu bapa mengepos anak-anak mereka yang masih kecil untuk dihantar ke rumah datuk dan nenek mereka di kampung. Khidmat itu bukan sahaja murah, malah lebih mudah dan menjimatkan masa mereka.

Pda 1 Januari 1913, apabila Post Office’s Parcel Post secara rasmi diperkenalkan di Amerika Syarikat, ramai warganya mendapat akses untuk menghantar barang ke seluruh negara pada harga yang berpatutan.

Dalam tempoh hanya enam bulan, berjuta-juta bungkusan telah dihantar sehingga mendorong pertumbuhan ekonomi menjadi lebih pantas terutama penduduk yang menetap di luar bandar.

Apa yang menarik, khidmat itu tidak hanya menghantar surat dan bungkusan barang, tetapi juga menerima segala macam termasuklah kiriman bayi. Malah, ramai ibu bapa amat yakin menggunakan perkhidmatan pos itu untuk menghantar anak-anak mereka tanpa perlu ditemani sesiapa.

Ibu bapa yang tidak berkemampuan menggunakan khidmat pos untuk menghantar anak mereka.

Individu pertama yang dipos ialah James Beagle yang baru berusia lapan bulan. Ibu bapanya, Jesse dan Mathilda Beagle dari Ohio bercadang mahu menghantar anak mereka ke rumah neneknya yang jaraknya sejauh 12 kilometer dari rumah mereka.

Malangnya, mereka tidak mempunyai wang yang cukup untuk membeli tiket kereta api. Lalu, suami isteri itu mengambil peluang menggunakan khidmat pos untuk menghantar bayi mereka.

Kos penghantaran yang perlu dibayar oleh ibu bapa James Beagle cuma 15 sen untuk setem dan menginsuranskan anak mereka sebanyak $50 Dolar.

Dengan setem yang dilekatkan pada pakaian bayi itu, James kemudian dimasukkan ke dalam kereta api untuk dihantar ke alamat ditetapkan bersama-sama dengan pekerja pembawa surat.

Walaupun dihantar menggunakan pos, anak-anak ini sebenarnya tidaklah dibungkus dengan rapi ke dalam kotak coklat dan ditutup dengan pita pelekat. Mereka cuma diletakkan dalam beg karung guni yang digalas di bahu petugas untuk dihantar kepada keluarga mereka.  

Vernon O. Lytle adalah orang pertama yang menyampaikan bungkusan bayi hidup. Beliau telah menerima bungkusan James dalam keadaan baik. Dan beliau kemudiannya menghantar budak kecil itu dengan selamat ke alamat yang tertera.

Cerita ini kemudian tersebar meluas. Sejak itu, sebahagian besar ibu bapa lain turut mengikuti langkah yang serupa.

Petugas pos menghantar seorang kanak-kanak yang dipos kedua orang tuanya.

Keluarga J.W.Savis dari Pine Hollow, Pennsylvania, juga tidak terkecuali. Pada 27 Januari 1914, keluarga berkenaan telah mengirimkan anak perempuan mereka dari Sharpsville kepada saudara-mara di Clay Hollow menggunakan khidmat penghantaran James Byerly. Untuk perkhidmatan itu, ibu bapa kanak-kanak berkenaan cuma perlu membayar sebanyak 45 sen sahaja.

Satu lagi kes paling terkenal pernah dilaporkan ialah melibatkan seorang kanak-kanak bernama Charlotte May Pierstorff. Keluarga Charlotte dikatakan tidak mampu untuk membeli tiket kereta api yang menelan kos $1.55 Dolar ketika itu.

Sebagai jalan penyelesaian, Charlotte dihantar menggunakan pos ke rumah datuk dan neneknya pada 19 Februari 1914. Gadis kecil berusia lima tahun itu kemudian dibawa menaiki kereta api bersama bungkusan barangan lain dari rumahnya di Grangeville, Idaho, ke kediaman datuk dan neneknya, sejauh kira-kira 25 kilometer. Kisah anak ini telah menjadi legenda sehingga dibukukan untuk bacaan kanak-kanak berjudul ‘Mailing May’.

Kisah Charlotte yang dihantar menggunakan pos turut dibukukan.

Setahun kemudian, iaitu pada 27 Mac 1915, seorang kanak-kanak bernama Edna Neff turut dilaporkan melakukan perjalanan yang dikirakan paling jauh menggunakan kiriman pos.

Budak kecil berusia enam tahun itu dikatakan telah mengembara sejauh 1,159 km dari rumah ibunya di Pensacola, Florida, ke rumah ayahnya di Christainburg, Virginia.

Enam bulan selepas itu, pekerja Perkhidmatan Pos Amerika Syarikat, Jim Haddix turut mendedahkan pernah membawa bungkusan berisi kanak-kanak bernama Maude Smith menggunakan kereta api O&K ke pejabat pos terletak di Jackson, Kentucky.

Maude Smith berusia tiga tahun ketika itu memakai gaun merah jambu – duduk di samping timbunan bungkusan sambil memakan gula-gula yang dibekalkan di dalam begnya.

Perkhidmatan menghantar anak melalui pegawai pos semakin popular dari tahun ke setahun. Ada sesetengah ibu bapa menjadikannya sebagai tempat bergantung untuk membawa anak-anak ke rumah datuk serta nenek mereka.

Dengan alasan ia lebih mudah, tambah pula tiada peraturan khusus berkenaan penghantaran kanak-kanak melalui pos. Pejabat pos kemudiannya terpaksa meningkatkan peraturan di mana hanya bungkusan dengan berat maksimum kira-kira 27 kg sahaja diterima.

Nancy Pope, ahli sejarah National Postal Museum berkata, khidmat penghantaran pos diperakui memang lebih murah daripada harga tiket kereta api pada waktu tersebut.

Disebabkan itu, ramai keluarga memilih menggunakan perkhidmatan tersebut. Namun, satu hal yang menarik, kepercayaan antara ibu bapa terhadap pembawa surat sangat tinggi sehingga bayi yang dikirim tidak perlu ditemani keluarga, dan mereka tidak risau jika anak mereka hilang kerana percaya pada khidmat pos.

Perkhidmatan itu bagaimanapun tidak beroperasi lama. Ia bukan sahaja dianggap pelik, malah bertentangan dengan tujuan asal perkhidmatan menghantar surat.

Khidmat pos kanak-kanak ini mula dihentikan selepas jabatan pos Amerika Syarikat meminda peraturan bagi menghalang pengeposan manusia dalam perkhidmatan mereka.

____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com