PELAKON dan penyanyi kumpulan De Fam, Azira Shafinaz mengakui membuat silap besar apabila memilih pakaian yang terlalu seksi, baru-baru ini.

Penampilan itu bahkan menerima pelbagai kritikan daripada netizen yang ‘sakit mata’ selain tidak menyukai dengan fesyen yang digayakan oleh Azira.

“Saya sebenarnya tak ada komen pun berhubung isu seksi ini. Sebab kalau saya, netizen akan salah anggap dan akan buat spekulasi lain pula.

“Tapi, bagi diri saya sendiri, saya faham dan sedar mungkin tidak bersesuaian dengan semua pihak. Saya sentiasa berdoa agar satu hari nanti saya akan berubah ke arah lebih baik.

“Harap peminat pun boleh doakan sekali,” ujar Azira memetik laporan Gempak.

Azira sebelum ada memuat naik gambar sambutan ulang tahun kelahirannya yang diadakan di Bangkok, Thailand.

Namun, dress pendek yang dipakai oleh Azira itu mendapat kecaman hebat daripada warganet dan rata-rata mengatakan ia terlalu seksi untuk ditayangkan kepada umum.

Meskipun tidak selesa dengan komen netizen yang mengelarkan dirinya dengan kata-kata yang kurang baik, Azira tetap berlapang dada dan menerima semua kritikan dengan tenang.

“Nak cakap selesa itu, sudah tentulah kita pun ada rasa tak selesa apabila orang panggil dengan perkataan tidak baik. Tapi, inilah lumrah jadi artis, saya kena hadap ini.

“Memang dari dulu lagi, kalau pakai tudung pun ada salahnya. Tak pakai, lagilah. Saya tak cakap pemakaian saya itu betul, tapi doakan yang terbaik buat saya,” ujarnya.

Disebabkan itu, Azira mengambil pendekatan untuk tidak membaca komen-komen negatif yang ditinggalkan oleh pengikutnya di ruangan media sosial.

Malah, Azira juga berjanji untuk mengubah dan memperbaiki dirinya menjadi insan yang lebih baik.