PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada pukul 3.48 petang tadi.
Perdana Menteri tiba di Istana Negara menaiki kenderaan jenis Toyota Alphard berwarna putih beserta konvoi polis.
Perdana Menteri turut sempat melambaikan tangan kepada petugas media yang ‘berkampung’ di Istana Negara sejak awal pagi tadi.
Ismail Sabri dijangka membuat sembah taklimat kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung Bajet 2023 yang akan dijadualkan dibentangkan petang esok.
Majlis menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara itu adalah rutin biasa untuk Perdana Menteri sebelum mempengerusikan mesyuarat Kabinet.
Bagaimanapun, sesi menghadap kali ini mendapat perhatian meluas berikutan spekulasi bahawa Perdana Menteri akan memohon pembubaran Parlimen untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ia susulan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Jumaat lalu yang memutuskan supaya PRU-15 diadakan pada tahun ini.
Terdahulu, Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat ke sesi sembah taklimat persiapan menghadapi bencana dan banjir di Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara, Jabatan Pengairan dan Saliran di Ampang, hari ini.
Baca artikel berkaitan: ‘Agenda tambahan’ dibincang jika berkesempatan – PM

Perdana Menteri semasa ditemui media selepas meninjau persiapan Bajet 2023 di Kementerian Kewangan tengah hari tadi pula memaklumkan ‘agenda tambahan’ berkaitan pembubaran Parlimen mungkin dibincangkan dalam sesi menghadap hari ini jika berkesempatan.
Menurut Perdana Menteri, perbincangan itu mungkin mengambil masa yang panjang memandangkan banyak perkara yang akan diterangkan selain beliau menerima pesanan daripada Seri Paduka.
Ismail Sabri yang ditanya sama ada tarikh pembubaran Parlimen akan dibawa pada majlis menghadap hari ini berkata: “Tak pasti lagi nak bawa atau tak. Kalau bincang hal Kabinet panjang sangat, pasal Kabinet sahaja.”
Ditanya lagi sama ada terdapat agenda “tambahan atau khusus” semasa menghadap Agong, Ismail Sabri berkata: “Kita tengok, kalau bincang sampai Maghrib tak sempat nak bincang hal lain”.
Sebelum ini, Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Radzi Jidin mengesahkan 12 menteri Perikatan Nasional (PN) telah mengutuskan surat kepada Al-Sultan Abdullah untuk menyatakan hasrat tidak mahu PRU-15 diadakan tahun ini.
Radzi menegaskan, menteri daripada PN berpendirian kebajikan rakyat merupakan perkara penting yang perlu diberikan tumpuan ketika ini, bukannya soal PRU-15.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

