BELANJAWAN 2023 menyaksikan penjawat awam menerima ‘durian runtuh’ dengan pelbagai inisiatif dilakukan untuk manfaat golongan itu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, antara inisiatif yang dilakukan adalah memperluas tafsiran peranti digital di bawah Skim Pembiayaan Komputer dan Telefon Pintar untuk turut merangkumi jam tangan pintar.

Selain itu, katanya,kerajaan bersetuju untuk memberikan subsidi 100 ringgit bagi perlindungan insurans atau takaful isi rumah  yang bernilai RM20,000 sebagai usaha meringankan beban peminjam yang terkesan dengan bencana.

Tambahnya, kebenaran penebusan awal gantian cuti rehat (GCR) sehingga 50 peratus juga akan dinaikkan sehingga maksimum 90 hari.

“Kerajaan juga telah menambah cuti rehat khas pegawai perkhidmatan pendidikan yang berkhidmat melebihi 10 tahun sebanyak lima hari menjadi 15 hari bagi memberi manfaat kepada 500,000 guru untuk menguruskan hal-hal peribadi dan berpeluang mengumpulkan GCR yang lebih tinggi.

“Kerajaan juga telah bersetuju untuk memberikan Kenaikan Gaji Tambahan Khas 2023 sebanyak RM100 kepada semua penjawat awam Gred 11 hingga 56 dengan implikasi kewangan 1.5 bilion ringgit. 

“Ini bermakna, jika seorang kakitangan Gred 11 yang bergaji RM1,600 mendapat Kenaikan Gaji Tahunannya sebanyak RM80 pada setiap bulan April, bagi tahun hadapan, beliau turut mendapat kenaikan gaji tambahan khas 2023 sebanyak 100 ringgit bermula pada Januari hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Baca lagi: Belanjawan 2023: Kadar BKM meningkat

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, kerajaan turut bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan kepada 1.3 juta penjawat awam gred 56 ke bawah sebanyak RM700 dan 1 juta pesara kerajaan sebanyak RM350 dengan implikasi kewangan berjumlah 1.3 bilion ringgit.

Selain itu, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga telah memutuskan supaya Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2023 dinaikkan kepada RM600 dan dibayar pada Mac 2023. 

Katanya, bersama dengan Kenaikan Gaji Tambahan Khas 2023 sebanyak RM100 yang berkuat kuasa Januari 2023 dan Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM700 menjadikan jumlah tambahan keseluruhan untuk penjawat awam yang layak pada 2023 adalah sebanyak RM2,500.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram