70 ribu masuk syurga
Sekadar gambar hiasan

Sebagaimana hadis dari Ibnu Abbas menyebut Nabi s.a.w. pernah bersabda, “Ditampakkan beberapa umat kepadaku, maka ada seorang nabi atau dua orang nabi yang berjalan dengan diikuti oleh 3 hingga 9 orang. Ada pula seorang nabi yang tidak punya pengikut seorang pun, sampai ditampakkan kepadaku sejumlah besar. Aku pun bertanya, “Apakah ini? Apakah ini umatku?” Maka ada yang menjawab, “Ini adalah Musa dan kaumnya”, lalu dikatakan, “Perhatikan ke ufuk”.

Maka tiba-tiba ada sejumlah besar manusia memenuhi ufuk kemudian dikatakan kepadaku, “Lihatlah ke sana dan ke sana di ufuk langit”. Maka tiba-tiba ada sejumlah orang telah memenuhi ufuk. Ada yang berkata, “Inilah umatmu. Di antara mereka akan ada yang akan masuk syurga tanpa hisab sejumlah 70,000 orang”.

Kemudian Nabi s.a.w. masuk tanpa menjelaskan hal itu kepada para sahabat. Maka para sahabat pun membicarakan tentang 70,000 orang itu. Mereka berkata, “Kita orang-orang yang beriman kepada Allah dan mengikuti rasul Nya maka kitalah mereka itu atau anak-anak kita yang dilahirkan dalam Islam, sedangkan kita dilahirkan di masa jahiliyah”.

Maka sampailah hal itu kepada Nabi s.a.w. lalu Baginda keluar dan berkata “Mereka adalah orang yang tidak minta dirukyah (dijampi), tidak meramal nasib atau mempercayai petanda sial dan tidak menggunakan pengubatan dengan besi (yang dilarang) dan hanya kepada Allah lah mereka bertawakkal.” (HR Bukhari)

Adakah 70 ribu saja?

Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. A. Irwan Santeri Doll Kawaid al-Nadwi menjelaskan, dari hadis tersebut, ada disebut hanya 70,000 umat nabi Muhammad s.a.w. yang masuk ke syurga tanpa hisab.

Mesti di fikiran kita, sikitnya jumlah itu jika hendak dibandingkan dengan jumlah umat Islam kini yang mencecah 1 bilion. Malah, sahabat Nabi s.a.w. sahaja sudah mencecah lebih kurang 140 ribu orang.

Justeru, apakah kita yang tidak dapat melihat dan bersama-sama dengan kekasih Allah itu berpeluang berada dalam kalangan 70,000 itu? Sedangkan kita sendiri tahu betapa sayang dan cintanya para sahabat pada Baginda sehingga sanggup mengorbankan nyawa, harta, masa, dan tenaga serta segala yang ada untuk Nabi s.a.w. dan Islam. Kita bagaimana?

Tambah Dr. A. Irwan Santeri lagi, ada khabar gembira lain yang disebut oleh Nabi Muhammad s.a.w. kerana dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Tarmizi dan Ibnu Majah, Rasulullah s.a.w. bersabda

“Rabbku Azza wa Jalla telah menjanjikan kepadaku bahawa ada dari umatku yang akan masuk syurga sebanyak 70,000 tanpa hisab ataupun azab beserta setiap seribu orang ada 70,000 orang lagi dan tiga hatsiyah-hatsiyah Allah”.

Maksudnya, jumlah sebenar umat Rasulullah s.a.w. yang dapat memasuki ke syurga tanpa hisab adalah lebih dari jumlah 70,000 seperti yang digambarkan dalam hadis di atas. Ia kerana janji Allah akan menambahkan lagi jumlah tersebut kepada setiap seribu dari jumlah 70,000 itu ditambah lagi dengan 70,000 yang lainnya.

Ini bermakna hampir setengah juta (4,900.000) umat nabi Muhammad s.a.w. termasuk kita semua yang berpeluang ke syurga tanpa hisab. Itu tidak termasuk lagi dengan hatsiyah-hatsiyah Allah iaitu bermakna ‘tiga cedok dari tangan Allah’ seperti yang terkandung juga dalam hadis di atas.

Namun, jangan pula kita membayangkan bagaimana tangan Allah, dan bagaimana Allah mencedoknya. Ia langsung tidak akan sama sifatnya dengan kita sebagai manusia yang juga makhlukNya.

Cuma apa yang boleh kita harapkan adalah semoga kita tergolong dalam golongan 70,000 tersebut, dan kalau tidak, kita doakan agar tergolong dalam golongan yang disebut setiap seribu orang ada 70 ribu lagi, dan kalau juga tidak berpeluang, moga kita termasuk dalam kalangan umat yang bakal di’hatsiyah’ oleh Allah kelak.

______________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare