DUA wanita maut selepas Perodua Myvi yang dinaiki bertembung dengan Perodua Viva di Simpang Cenderawasih, Jalan Kuantan-Segamat, petang tadi.

Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Pahang, panggilan mengenai kejadian diterima pada pukul 3.23 petang.

Sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah telah diarahkan ke lokasi kejadian.

“Bomba tiba di lokasi dan mendapati kemalangan melibatkan sebuah Perodua Myvi yang bertembung dengan Perodua Viva dari arah bertentangan,” kata kenyataan itu hari ini.

Jelas kenyataan itu, kedua-dua mangsa yang menaiki Perodua Myvi maut dan telah dikeluarkan oleh anggota bomba manakala seorang lelaki dan wanita dalam kenderaan sama turut cedera.

“Lima mangsa termasuk tiga kanak-kanak yang menaiki kereta Perodua Viva pula mengalami kecederaan dan telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum bomba tiba di lokasi.

“Mangsa yang mengalami kecederaan telah dihantar ke hospital manakala mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut”.