Haji Mahadi atau Mohd. Mahadi bin Haji Mohd Said dilahirkan di Kampung Merbuk, Negeri Sembilan pada tahun 1914. Beliau merupakan anak kelapan daripada 15 orang adik-beradik.

Bapa beliau, Haji Mohd. Said merupakan seorang ulama dan tokoh agama yang dihormati di Negeri Sembilan. Manakala abang sulungnya, Haji Ahmad Muhammad Said merupakan bekas mufti Negeri Sembilan.

Haji Mahadi dihantar belajar di Madrasah al-Falah di kota Mekah ketika berumur 14 tahun. Beliau belajar di kota suci itu selama dua tahun. Kerana itu beliau digelar ‘Haji’ sewaktu menyertai dunia lakonan.

Bapanya mahukan Haji Mahadi menjadi guru agama yang berkelulusan tinggi dalam bidang pengajian agama. Bagaimanapun, harapan bapa beliau tidak tercapai kerana Haji Mahadi memilih untuk menceburi bidang kewartawanan.

Haji Mahadi.

Haji Mahadi menjadi wartawan di syarikat Utusan Melayu (Singapura) pada tahun 1939. Walau bagaimanapun, beliau mengambil keputusan untuk berhenti selepas itu.

Haji Mahadi beralih pula ke dunia perfileman untuk mencari pengalaman baru pada tahun 1950. Haji Mahadi menjadi penterjemah skrip di Malay Film Production (MFP).

Ketika itu, semua pengarah di MFP terdiri daripada orang India yang tidak tahu berbahasa Melayu. MFP menerima banyak kritikan daripada orang ramai terutama daripada pihak media yang kesal dengan penguasaan pengarah India di studio itu.

Oleh demikian, MFP bertindak segera, membetulkan keadaan dengan membuka pintu kepada orang Melayu untuk menduduki kerusi pengarah filem.

Haji Mahadi berjaya merebut peluang yang baru dibuka oleh MFP itu. Maka, bermulalah sejarah baharu apabila Haji Mahadi menjadi orang Melayu pertama mengisi kerusi pengarah filem di MFP pada tahun 1952.

Haji Mahadi memilih sebuah cerita bercorak drama masyarakat sebagai filem pertama arahan beliau, Permata Di Perlimbahan. Filem tersebut dibintangi oleh Nordin Ahmad dan Maria Menado.

Ternyata percubaan Haji Mahadi itu kurang berhasil. Sambutan orang ramai terhadap filem tersebut juga dingin.

Haji Mahadi.
Haji Mahadi (kiri) bersama S.Kadarisman dalam filem Seri Menanti.

Haji Mahadi terpaksa menerima hakikat bahawa peluang beliau untuk terus mengarah filem telah tertutup. Haji Mahadi dengan tenang menerima perubahan kedudukan beliau, iaitu daripada pengarah kepada pelakon.

Kegagalan filem arahannya itu membuatkan Haji Mahadi enggan mengarah filem lagi. Permata Di Perlimbahan menjadi filem pertama dan terakhir arahannya. Haji Mahadi beralih pula ke dalam bidang lakonan. Pada awalnya sebagai pelakon pembantu sahaja.

Dalam bidang lakonan, kebolehan Haji Mahadi memeranjatkan banyak orang. Lakonan awal beliau dalam beberapa buah filem, membuktikan beliau seorang pelakon yang cukup berkemampuan dan berpotensi besar. Hal tersebut diambil kira dari segi perwatakan dan personaliti beliau yang menarik.

Haji Mahadi (tengah) bersama Siput Sarawak dan P.Ramlee dalam filem Hujan Panas.
Haji Mahadi membawa watak Raja.
Haji Mahadi membawa watak lebai.

Kemantapan lakonan beliau diperlihatkan dalam filem Sedarah yang diarahkan oleh S.Ramanathan pada tahun 1952. Haji Mahadi membawa watak seorang bapa yang tersepit dalam dilema dua orang anak lelaki yang saling bertentangan kerana seorang gadis kampung.

Dalam filem Hujan Panas pada tahun 1953, lakonan Haji Mahadi menerima pengiktirafan apabila beliau dianugerahi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dalam Festival Filem Melayu anjuran majalah, Utusan Filem dan Sport yang diterbitan oleh syarikat Utusan Melayu (Singapura).

Hujan Panas yang diarahkan oleh B.N Rao dibarisi oleh P.Ramlee dan Siput Sarawak sebagai pelakon utama.

Haji Mahadi menonjol dengan watak serius seperti Raja, bapa, orang alim dan juga pembimbing. P.Ramlee membuat percubaan berani dengan mengubah watak serius yang sering dipegang oleh Raja Mahadi kepada watak lucu, melalui filem Tiga Abdul pada tahun 1964. Ternyata, Haji Mahadi seorang pelakon yang berwibawa dan serba boleh.

Haji Mahadi (kiri) membawa watak Abdul Wahab dalam filem Tiga Abdul.

Walaupun bergelar seniman, namun Haji Mahadi tidak lupa berdakwah di kalangan perkampungan artis di Singapura. Beliau sering memberi panduan hidup dalam soal keagaaman mahu pun kebajikan. Kerana itu Haji Mahadi amat dihormati oleh golongan artis pada zaman itu.

Haji Mahadi mengabdikan diri pada bidang perfileman sehingga MFP ditutup pada tahun 1967. Filem terakhir lakonan beliau bersama MFP ialah Raja Bersiong dan Jebat Maut yang kedua-duanya diarahkan oleh Jamil Sulong. Haji Mahadi meninggal dunia pada 20 Februari 1983 kerana sakit jantung di usia 69 tahun.

Haji Mahadi berlakon hampir 80 buah filem. Antaranya ialah Anak Buluh Betong, Dayang Senandong, Darah Muda, Neracha, Singapura Dilanggar Todak, Laksamana Bentan, Isi Neraka, Si Tanggang, Puteri Gunung Banang, Batu Belah Batu Bertangkup, Orang Minyak, Lela Manja, Dayang Senandong dan banyak lagi.

**Sumber : Buku Jejak Terbilang terbitan Finas.

Buku Jejak Terbilang terbitan Finas. Jika berminat anda boleh membeli buku ini di pautan berikut https://shopee.com.my/product/123254563/17075039567?smtt=0.123256387-1664090727.9

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com