TIMBALAN Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz menyifatkan dakwaan Rafizi Ramli dalam satu artikel yang disiarkan Facebook milik Timbalan Presiden PKR itu semalam sebagai mahu merosakkan nama baiknya.

Beliau menegaskan, artikel itu yang bertajuk ‘Batal Niat Surat Anugerah Kontrak Meriam SPH Kepada Syarikat Ada Kaitan Anak Menteri’ adalah tohmahan yang menyemarakkan kebencian orang awam terhadapnya.

Susulan itu katanya, satu laporan polis dibuat Setiausaha Sulit Kanannya, Mohammad Iskandar Idris terhadap Rafizi itu di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, hari ini.

“Saya menyerahkan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk menyiasat serta mendakwa Rafizi melalui peruntukan undang-undang sedia ada.

“Pada masa sama sekali lagi saya tegaskan, apa yang dinyatakan oleh beliau adalah satu fitnah dan tohmahan yang bermotif politik apatah lagi dalam keadaan negara dijangka mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 tidak lama lagi.

“Saya juga bersedia bekerjasama dalam sebarang siasatan yang dijalankan oleh mana-mana agensi khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tanah Merah berkata, dakwaan dalam artikel tersebut yang mengaitkan namanya dengan sebuah syarikat iaitu MA Analytics Sdn. Bhd. adalah tidak benar.

“Ia adalah satu fitnah dan pembohongan yang bertujuan politik bagi mencemarkan nama baik saya.

“Sebagai Timbalan Menteri Pertahanan saya sama sekali tidak mempunyai kuasa dalam menentukan atau mempengaruhi pemilihan syarikat di dalam mana-mana perolehan kementerian.

“Ini memandangkan Kementerian Pertahanan telah menetapkan setiap perolehan aset dan kelengkapannya yang baharu mempunyai proses kerja yang perlu dipatuhi dan perlu diperakukan oleh pengguna sendiri iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) atau Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebelum sebarang perolehan dilaksanakan,” katanya.

Seterusnya kata Ikmal Hisham, perlu dikemukakan kepada agensi Pusat seperti Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan untuk kelulusan perolehan.