UMNO dilaporkan akan mengadakan mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu malam esok dipercayai membincangkan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Menurut laporan BH Online yang memetik sumber, mesyuarat khas MKT itu juga dipercayai membincangkan tentang kerjasama dengan Pas.
Sumber itu memberitahu telah pun menerima makluman mesyuarat khas MKT itu menerusi surat dikeluarkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bertarikh 7 Oktober.
Jelasnya, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dijangka mempengerusikan mesyuarat bermula pukul 8 malam.
Mesyuarat tersebut turut dijangka menyentuh tarikh pembubaran Parlimen yang akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Kita lihatlah nanti. Perdana Menteri mungkin akan beri maklumat itu (dalam mesyuarat esok),” katanya ringkas tanpa memperincikan lebih lanjut agenda khusus yang akan dibincangkan.
Baca artikel berkaitan: PM perlu beri ketetapan tarikh PRU-15 – Muhyiddin
Sumber tersebut turut tidak menolak kemungkinan mesyuarat khas MKT itu ada kaitan dengan perjumpaan Perdana Menteri dengan Yang di-Pertuan Agong, Khamis lalu.
Laporan itu turut memaklumkan, Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Sumali Reduan mengesahkan mesyuarat khas berkenaan.
“Ya (mesyuarat khas MKT esok),” katanya.
Ahmad Zahid sebelum ini mendesak PAS menyatakan pendiriannya dalam masa terdekat berhubung ketetapan itu dengan meminta parti terbabit memutuskan hubungan bersama Perikatan Nasional (PN) jika memilih Barisan Nasional (BN) sebagai rakan sekutu pada PRU15.
Namun, dalam kenyataan semalam, PAS dilihat masih berteka-teki sama ada akan menjalinkan kerjasama dengan BN pada PRU15 dengan memutuskan untuk meneruskan usaha penyatuan ummah, membabitkan ketiga-tiga parti teras Melayu, termasuk UMNO dan BERSATU.
Keputusan itu dibuat PAS selepas selesai mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kerja parti itu di ibu negara dan dipengerusikan Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

